26 April 2013

Kepada Bakal Isteriku




Assalamualaikum kepada Bakal isteriku,

Bakal suamimu ingin memberikan pesanan kepadamu. Peringatan untuk kita sama-sama mempersiapkan diri. Sebelum kita diijab kabul dan dipertemukan Allah s.w.t kelak. Bersama-sama membina baitul muslim yang diredhai Allah s.w.t.

Bakal isteriku,

Peliharalah maruahmu dengan menutup aurat dengan sempurna. Bertudung labuh. Jangan sesekali memakai pakaian yang ketat dan menampakkan bentuk tubuh badan. Pilih untuk memakai stokin tangan dan kaki.

Tak dinafikan. Mungkin memakai stokin tangan dan kaki dipandang remeh oleh sesetengah lelaki. Tetapi suamimu ini sangat menekankan penjagaan aurat dengan sempurna. Kerana kecantikanmu hanyalah untuk suamimu, bukan untuk pujian dan tatapan umum.

Suamimu mempunyai fatwa hati yang tersendiri. Sekiranya penjagaan aurat kamu sudah sempurna sebelum diijab kabul, insyaAllah lebih mudah untuk membina baitul muslim kerana masih banyak lagi perkara yang perlu difokuskan dalam usaha mencari redha Allah s.w.t.

Bakal isteriku,

Zahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Suamimu ini tidak sesekali cemburu untuk berkongsi rasa dan cinta. Bahkan, suamimu gembira diperlakukan sedemikian. Kerana, suamimu ini sedar. Sekiranya kamu mencintai Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w melebihi segala-galanya, maka kamu juga akan mencintai suamimu ini dengan seikhlas hati. Menerima kelebihan dan kekurangan suamimu ini.

Lazimi majlis ilmu. Ikuti usrah dan halaqah. Baca buku-buku agama. Hiduplah dalam kalangan orang yang sentiasa memberi peringatan. Tak kira samada kamu belajar jurusan agama ataupun tidak. Sekiranya tidak, jangan sesekali jadikan ianya sebagai halangan untuk tidak memperdalami ilmu agama. Suamimu juga bukan daripada jurusan agama. Ingatlah. Ilmu agama yang sedikit tetapi diamalkan, lebih baik daripada ilmu agama yang banyak tetapi tidak diamalkan.

Bakal isteriku,

Jadikan Al-Quran sebagai pendamping hidupmu. Jangan ditinggalkan; walaupun hanya satu ayat sehari. Basahkan bibirmu dengan berzikir dan berselawat. Ketika sedang berjalan, malah ketika sedang berada di dalam kenderaan. Supaya tidak ada perkara yang sia-sia berlaku dalam kehidupan seharian. Semuanya didasari dengan ibadat kepada Allah s.w.t.

Perbanyakkan amalan sunat. Berusaha untuk melakukan puasa sunat pada setiap minggu dan solat sunat dhuha pada setiap hari. Di samping itu, berusaha untuk melakukan qiamullail. Bersujud kepada Allah s.w.t di saat orang lain selesa tidur di atas katil yang empuk. Mulakan secara berperingkat. Sebulan sekali. Kemudian, seminggu sekali dan mungkin lebih daripada itu. Pilih untuk istiqamah agar dapat merasai kemanisan beribadat kepada Allah s.w.t.

Jadikan sirah Rasulullah s.a.w sebagai teladan. Aplikasikan sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Daripada bangun tidur sehinggalah sebelum tidur semula. Lazimi majlis maulid agar bertambah kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Baca buku-buku berkaitan sirah Rasulullah s.a.w.

Bakal isteriku,

Maksimumkan usaha untuk memanfaatkan dirimu dalam berdakwah. Libatkan diri dalam persatuan. Selain itu, gunakan medium-medium seperti Facebook, Blog, atau apa-apa sahaja untuk sebarkan kebaikan Islam. Jadikan penulisan sebagai salah satu uslub untuk berdakwah. Sekurang-kurangnya, apabila kita meninggal dunia, kita masih mempunyai sesuatu untuk dijadikan sebagai bekalan di akhirat kelak, iaitu ilmu yang bermanfaat.

Berhati-hati juga dengan penggunaan medium-medium seperti Facebook dan Instagram.  Ketika muat naik gambar. Jangan muat naik gambar yang terlalu besar, sehingga kelihatan begitu jelas wajahmu untuk tatapan umum. Pastikan juga gambar-gambar yang di muat naik, menutup aurat dengan sempurna, terutamanya bahagian tangan dan kaki yang seringkali dipandang enteng.

Bakal isteriku,

Proses pembinaan baitul muslim tidak akan terbina secara tiba-tiba. Disebabkan itu, kita perlu mempersiapkan diri sebelum diijab kabul. Agar kita dapat membimbing anak-anak kita dengan baik. Mengaplikasikan Islam di dalam keluarga kita. Bukan hanya sekadar teori, tetapi perlu dizahirkan dengan praktikal.

Tarbiyatul aulad. Mengajar Al-Quran kepada anak-anak. Berkongsi sirah Rasulullah s.a.w kepada anak-anak. Mengaplikasikan sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian kita. Bijak mendidik amanah yang telah diberikan Allah s.w.t kepada kita. Agar lahir insan yang bermanfaat kepada Islam serta mampu mendoakan kebaikan kepada kita setelah kita sudah meninggal dunia.

Bakal isteriku,

Sungguhpun kita masih belum dipertemukan Allah s.w.t, tetapi bakal suamimu ini percaya bahawa mempersiapkan diri lebih penting daripada sibuk mencari calon. Allah s.w.t akan mempertemukan kita kelak, pada waktu yang telah ditetapkan olehNya.

Buat masa sekarang, kita lakukan segala apa yang telah disampaikan di atas secara masing-masing. Sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Namun, setelah diijab kabul kelak, kita akan melakukan bersama-sama. InsyaAllah.

Suamimu ini tidak mengharapkan seorang isteri yang sempurna. Tetapi suamimu ini mengharapkan seorang isteri yang sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk menjadi sempurna. Kerana suamimu juga bukan seorang yang sempurna.