24 April 2013
Jangan Tunggu Bila Nak Jadi Ustaz
Perlukan keberanian
Halim singgah di kedai makan berdekatan sekolah. Makan tengahari bersama beberapa orang cikgu. Halim order nasi lauk ayam dan sayur. Milo ais sebagai penghilang dahaga.
“Hmm, ustaz. Saya malu nak tanya ustaz ni.” Salah seorang cikgu memulakan bicara. Beliau mengajar subjek Matematik.
“Nak tanya apa?” Soal Halim.
“Boleh ke, kalau saya nak menasihati orang lain, kalau saya sendiri tidak sempurna?” Tanya beliau.
Halim memikirkan analogi yang sesuai. Milo ais yang berada di hadapan, dihirup Halim. Segar!
Halim memulakan bicara. “Tidak ada salahnya. Tak perlu tunggu jadi sempurna, baru nak nasihat orang lain. Sama juga seperti cikgu mengajar subjek Matematik. Adakah cikgu mengetahui semua perkara mengenai Matematik di atas dunia ini? Sudah tentu tidak, kan. Tetapi ianya tidak menghalang cikgu untuk terus mengajar murid-murid mengenai subjek Matematik. Maka, teruskan niat baik cikgu. Apabila cikgu menasihati orang lain, sebenarnya cikgu sedang menasihati diri sendiri”.
“Bukannya apa, ustaz. Saya pernah menasihati seorang sahabat supaya tidak merokok berdekatan orang ramai. Bimbang asap rokok memberi kesan kepada orang sekeliling. Kemudian, dia marah saya pula. Hujahnya adalah ‘kau pun hisap rokok’. Tetapi, sekurang-kurangnya saya tidak hisap rokok di khalayak ramai.” Celoteh cikgu tersebut. Kemudian, beliau bangun daripada kerusinya, bergerak keluar dari kedai untuk menghisap rokok.
“Hmmm..” Hakim menghormati tindakan cikgu tersebut. Suka dengan caranya. Berani menasihati orang lain, sungguhpun dia sendiri melakukan perkara itu. Tak dinafikan, merokok di khalayak umum lebih besar mudaratnya. Asap rokok merbahaya kepada orang sekeliling. Bagus tindakan sahabat Halim kerana dia menghormati orang sekelilingnya, supaya tidak menjadi mangsa asap rokok. Beliau mementingkan kesihatan orang lain. Namun, bagaimana pula dengan dirinya? Adakah kesihatan dirinya tidak penting?
Tugas kita
Kadangkala, kita malu untuk menegur orang yang melakukan kesalahan. Alasannya? Kerana kita juga masih melakukan kesalahan. Nasihat juga hanya layak diberikan oleh orang yang digelar ustaz, ustazah, lepasan sekolah agama, lepasan ijazah bidang agama. Benarkah begitu?
“Saya bukan daripada sekolah agama, malu nak nasihat orang.”
“Saya seorang jurutera, bukannya ustaz lepasan Mesir atau Jordan. Jadi, bukan tugas saya untuk menasihati orang. Kalau saya nasihat, ustaz nak kerja apa nanti?”
Ada yang berfikiran begitu, menyebabkan tiada yang bertindak. Membiarkan kemungkaran berlaku di depan mata. Contoh mudah. Apabila couple berada di depan mata, sambil memegang tangan dan berpelukan, bermesra di taman, apa tindakan kita? Ramai cenderung untuk mencegah dengan hati, iaitu membenci perbuatan tersebut, berbanding mencegah dengan kuasa atau lisan. Bukankah mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman? Tidaklah Halim katakan salah, cumanya berusahalah untuk menegur, bukan hanya setakat membenci dengan hati.
“Ish, anak siapa tu, tak tahu malu. Ibu bapa tak ajar agama ke?” Sudahlah tidak tegur, malah mengumpat pula! Astaghfirullah.
Tak perlu tunggu jadi ustaz, yang penting bila kita nak start. Tak perlu tunggu jadi sempurna dahulu, baru boleh nasihat orang lain.
Teringat kata-kata hikmah Imam Hasan al-Basri; “Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukan bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas dengan diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan.”
Jangan persalahkan orang lain, jika diri sendiri tak berperanan. Timbulkan rasa pedulisme dalam diri. Saling menasihati ke arah kebaikan. Bukan tujuan menjatuhkan, tetapi untuk kesedaran. Ada caranya.
“Eh, kau sudahlah melakukan maksiat. Terang-terangan pula, pegang tangan dan peluk anak dara orang. Tak malu ke? Nak masuk neraka ke?”
Adakah begitu cara menegur? Sudah tentu tidak. Nasihatlah secara berhikmah.
Allah swt berfirman:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Al-Nahl 16:125)
Lengkapkan diri, bukan bermaksud menjadi sempurna
Apabila kita menasihati orang lain, sebenarnya kita sedang menasihati diri kita sendiri. Bukankah telinga kita yang paling dekat posisinya, dengan apa yang kita nasihatkan? Gunakan peluang untuk menasihati orang lain, sebagai salah satu method untuk kita perbaiki diri.
Tetapi, awas! Jangan hanya menasihati sahaja, sehingga terlupa memperbaiki diri.
Kita mengajak masyarakat melakukan kebaikan, tetapi diri sendiri yang tidak melakukan kebaikan tersebut. Cakap tak serupa bikin!
Allah swt berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (As-Saff 61:2-3)
Lengkapkan pengetahuan diri dengan ilmu agama. Maka, kita akan lebih bersedia untuk menasihati orang lain. Jangan tunggu jadi ustaz, yang penting bila nak start?