22 April 2013

Luahan Tulus Hati Seorang Isteri..siri 1


Kisah yang dipaparkan ini merupakan kisah benar Luahan Tulus Hati Seorang Isteri yang begitu menyayangi suaminya, yang sanggup berkorban apa saja untuk suaminya, yang mahukan rumahtangganya kekal bahagia selamanya, namun di uji oleh Allah dengan ujian yang sangat besar.

Saya telah membaca kisahnya dengan penuh teliti. Saya cuba membayangkan betapa besar dan dahsyatnya ujian @ cabaran yang dihadapi. Hati saya jadi begitu terharu dan sangat bersimpati dengan nasib yang menimpa si isteri.

Subhanallah, besar sungguh ujian Allah kepada dia. Rasanya, kalau saya ditempatnya, belum tentu saya dapat menanggung bebanan tekanan seperti itu.

Ikuti kisahnya
______________________________________________________________
Assalamualaikum…

Terlebih dahulu ingin saya perkenalkan diri saya sebagai Hanis Zulaikha. Malu untuk diceritakan apa yang berlaku dalam kehidupan saya, tapi saya sudah terlalu buntu untuk memikirkan yang terbaik untuk masalah peribadi saya.

Saya seorang isteri yang sedang mengandung 6 bulan.Saya berkahwin dengan seorang lelaki yang awalnya saya kenali dia sebagai seorang yang penyayang dan terlalu mengambil berat pada saya. Saya  adalah isteri kedua kepada lelaki tersebut dan perkahwinan kami mendapat restu dari isteri pertama mungkin kerana lelaki ini selalu berjauhan dengan isterinya atas sebab kerja. Saya bernikah dengan suami saya di sempadan Thailand kerana saya kerap bertemu dengan dia dan untuk pengetahuan anda, saya adalah seorang perempuan yang terlalu menjaga kehormatan dan ingin mengelakkan kami dari maksiat dan Alhamdullilah saya dapat menjaga kehormatan saya sehinggalah saya bergelar seorang isteri yang sah.

Pernikahan ini saya rahsiakan dari pengetahuan emak dan ayah saya kerana perhubungan kami ditentang kerana dia suami kepada seseorang. Tetapi, pada suatu hari kami berterus terang dan Alhamdullilah juga, emak dan ayah saya merestui hubungan kami dan saya dinikahkan semula oleh ayah saya dan kami diraikan dalam satu majlis yang besar-besaran. Perkahwinan kami ini juga turut direstui oleh kedua orang tua mertua saya.

Bagi mertua saya, poligami tidak menjadi satu yang agak teruk seperti yang selalu orang-orang melayu kita beranggapan kerana bapa mertua saya juga mempunyai 2 orang isteri. Perkahwinan saya ini juga dihadiri oleh kedua-dua ibu kepada suami saya. Saya bahagia dengan suami saya.

Suami saya berterus terang yang beliau mempunyai terlalu banyak hutang bank dan tidak mempunyai duit simpanan. Suami saya mempunyai pendapatan yang besar, tetapi saya perhatikan pakaian suami saya seperti orang yang tidak mampu membeli pakaian yang elok. Saya modalkan untuk membeli banyak pakaian baru dan berjenama buat dia. Saya tidak kisah itu semua. Tetapi kerana peribadi suami saya, saya terima dia seadanya dan bagi saya duit bukan ukuran untuk pengetahuan anda, kos pernikahan kami di Thailand sehinggalah majlis di sini semua dengan menggunakan duit saya waimah duit mas kahwin. Semuanya kerana cinta saya pada suami saya. Bukan niat untuk mengungkit, tetapi kisah ini ingin saya kongsi bersama sejujur-jujurnya.

Saya seorang yang berharta dan berduit sebelum bernikah dengan suami saya. Saya bertemu jodoh saya awal usia 30 an. Dan sejak bergelar isteri, saya makin dekatkan diri dengan Allah, saya tak pernah tahajjud, tapi sejak bernikah saya lakukan dan sedikit amalan sunat-sunat yang lain. Sepanjang saya menjadi isteri, saya dilarang bertemu orang luar kecuali keluarga saya, saya tidak dibawa berjalan sepertimana suami saya membawa isteri pertamanya berjalan, setiap perbelanjaan rumahtangga saya dan isteri sana semua atas tanggungan saya. Tetapi, bagi saya, duit bukan ukuran untuk sebuah rumahtangga.

Saya mempunyai syarikat sendiri. Tetapi, dugaan melanda selepas bernikah, saya diduga dengan saya ditipu rakan kongsi saya. Hingga saya terpaksa membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat lain yang syarikat kami berhutang. Sampai ke suatu tahap saya hilang segala-gala kemewahan, kereta mewah dan duit simpanan saya semakin menyusut. Suami saya mempunyai masalah dengan pekerjaan beliau dan suami saya sebenarnya tidak berminat dengan jawatan tinggi dan pekerjaan yang dimilikinya. Sebulan selepas kami bernikah,dengan kelayakan kewangan saya, saya berani untuk izinkan suami saya berhenti dari pekerjaan dan saya fikir pada masa itu saya mampu untuk menanggung beliau dan keluarga pertamanya termasuklah ibu mertua saya. Malangnya saya semakin hari semakin susah. Kami hidup bersama di rumah sewa kami. Kesusahan saya sehingga saya tidak mampu membayar kereta saya hingga ditarik dan dilelong. Kawan-kawan lari meninggalkan saya sehinga tiada seorang pun yang mahu berkawan dengan saya dan saya cuma ada suami saya untuk saya luahkan rasa suka duka saya. Begitu juga kawan-kawan suami saya, semua lari menginggalkan dia. Semua berlaku dengan sekelip mata selepas saya bernikah dengan suami saya.

Dalam keadaan begini, suami saya masih tidak bekerja dan saya menggunakan sisa-sisa simpanan saya untuk makan kami berdua. Paling menyedihkan, saya tertunggak bayaran bulanan sewa rumah kami. Puas saya berusaha untuk mendapatkan rezeki,tetapi rezeki masih tidak menyebelahi saya.  Saya mengandung buat kali pertama. Seperti biasa suami saya akan berulang alik ke rumah isteri pertama dan ke rumah saya dengan semua itu tanggungan saya. Kerana tekanan yang saya alami, saya mengalami keguguran. Tetapi selang sebulan saya mengandung lagi buat kali kedua dan saya gugur lagi, itu pun kerana tekanan hidup. Dan selang 3 bulan selepas itu saya mengandung kali ke 3 dan gugur juga. Saya terlalu inginkan zuriat untuk mengeratkan lagi ikatan perkahwinan kami. Saya pun mahukan dia rindukan saya bila dia di sana kerana saya ada anak seperti dia rindukan isteri dan anak-anak dia bila dia disisi saya. Suami saya jenis yang sayang kan anak.

Setahun perkahwinan, saya dihalau dari rumah sewa dan saya berpindah dari rumah sewa kami seperti perompak melarikan barang-barang dalam rumah orang. Saya tumpang barang-barang rumah saya di rumah emak ayah saya, baru beberapa hari di rumah mak,rumah mak saya dirompak dan banyak barang yang hilang adalah barang-barang rumah saya. Saya masih bersabar lagi dengan keadaan itu. Tetapi,suami saya sudah menunjukkan kelainan dengan diri saya. Suami saya sudah pandai memaki hamun saya, menengking saya dan hampir setiap minggu mengungkit kesusahan yang terjadi hingga saya digelarkan pembawa sial dan pembawa masalah dalam hidup dia. Suami saya menunding jari kerana dia tidak bekerja selama dia bersama saya. Dan paling menyedihkan dia mengugut untuk menceraikan saya.

Saya masih bersabar. Kami menumpang di rumah emak ayah saya. Suami saya mengalami kemurungan yang teruk dan saya juga tertekan dengan keadaan kami tetapi tidak pernah saya zahirkan kepada suami saya selama kami bernikah supaya dia tidak bertambah murung dan dengan sikap saya ini jugalah yang membawa kepada 3 kali keguguran dalam masa setahun pernikahan.

Masuk usia setahun 2 bulan kami bernikah,saya diduga lagi. Polis datang ke rumah orang tua saya untuk menyiasat tentang satu kes penipuan. Saya dengan tanpa rasa curiga hadirkan diri ke balai polis untuk memberi kerjasama dan malangnya nasib saya, saya ditahan reman untuk siasatan kes ini. Sebenarnya tiada sebarang penipuan pun di dalam kes ini, tetapi saya disalahkan kerana menyebabkan kerugian kepada sebuah syarikat yang dulu pernah melabur dalam syarikat saya, tetapi fakta diputar belitkan sehingga saya dipukul oleh pegawai polis untuk mengaku setiap pertuduhan tersebut.

Suami saya tinggal keseorangan,untuk pulang ke rumah isteri pertama tidak mungkin,kerana suami saya dipulaukan mertua sana kerana suami saya tertunggak nafkah kepada isteri pertamanya. Dan suami saya pulang ke rumah ibunya yang tidak berjauhan dari rumah orang tua saya. Semasa di dalam tahanan,saya terlalu sedih mengenangkan nasib saya sehingga difitnah kerana wang ringgit dan untuk pengetahuan anda, individu yang bertanggungjawab mendakwa saya adalah rakan karib saya sebelum saya bernikah dahulu.

Saya semakin tertekan mengenangkan keadaan suami saya. Bagaimana keadaan dia, macam mana makan minum dia, macam mana tidur dia,hanya untuk dikongsikan kepada anda,selama saya menjadi isteri, bila suami saya celikkan mata,saya akan pastikan saya berada depan dia dan saya akan berikan sebuah senyuman buat dia yang tercinta,turun je dari katil,tuala dan sepasang sepersalinan suami saya sudah saya siapkan,selepas dia mandi saya akan siapkan sarapan untuk suami saya dan setiap suami saya berada di mana-mana ruang di rumah kami, waimah rumah orang tua saya atau ibu mertua saya, saya akan siapkan minuman walau hanya air kosong untuk suami saya. Saya akan cuci pakaian suami saya dengan menggunakan tangan saya sendiri walaupun saya mempunyai mesin basuh. Pakaikan stokin suami bila dia hendak keluar. Ibu mertua saya tidak pernah memuji menantunya tentang layanan suami tetapi pujian itu diberi pada saya, saya tahu pun dari adik ipar saya. Yang saya tahu, saya akan melayan suami saya sepertimana emak saya melayan ayah saya.

Saya dijatuhkan hukuman dan saya perlu di ikat jamin dengan jumlah yang besar. Mana lah emak ayah saya mahu mencari wang untuk menjamin saya. Tetapi, mujurlah, suami saya buat pertama kali dapat meminjam pada adik iparnya untuk menjamin saya. Selepas bebas dari tahanan,saya menetap dirumah mertua saya. Kerana bukan setakat aduan polis, tetapi bekas rakan karib saya mengupah orang untuk mendapatkan saya untuk diugut dan diancam. Saya mendiamkan diri di rumah mertua saya.

Hari pertama saya bebas, suami saya meluahkan rasa yang tertekan. Dia mahu kami berpisah kerana isteri pertama dia ingin menuntut penceraian. Dan dia pilih untuk hidup bersama isteri pertama dia. Semasa dalam tahanan,saya tak sangka yang saya mengandung lagi kali keempat dan kali ini walaupun tertekan dalam tahanan, walau teruk dipukul polis, kandungan saya ini tetap bertahan. Saya maklumkan pada suami saya yang saya mengandung lagi,tidak seperti dulu,dia suruh saya gugurkan kandungan ini. Saya sedih sangat,dia mengungkit kerana perkahwinan ini dia susah,isteri tuntut cerai dan dia tidak dibenarkan untuk berjumpa anak-anak dia.  Saya cuba menghubungi isteri pertamanya, saya dicemuh. Saya terkejut, madu saya juga turut berubah. Dan buat pertama kali saya dipukul suami saya. Sepanjang saya dikasari suami saya waimah tengkingan, makian,cemuhan dan pukulan,saya tidak pernah melawan. Saya sanggup terima asalkan dia masih terima saya sebagai isteri. Saya tetap bertahan walau hati ini hancur kerana saya ingin hidup dengan dia sampai mati, saya ingin jaga dia dan saya terlalu cintakan dia.

Dan paling menyedihkan,saya dihalau dari rumah mertua saya oleh suami saya walau ibu mertua saya bertindak membela saya, saya dipukul,ibu mertua saya ditengking hingga ibu mertua saya menitiskan air mata dan kerana air mata itulah dia mengugut untuk buat saya menangis seumur hidup saya. Saya disalahkan kerana kemusnahan hidupnya.

Saya mempunyai sebuah rumah untuk di jual, rumah tersebut saya beli dengan tunai tanpa pinjaman bank semasa saya senang satu ketika dahulu,susah sungguh untuk saya jual rumah tersebut bagi membolehkan saya membayar hutang-hutang dan memulakan hidup baru dengan suami saya tetapi dia selalu mengungkit yang saya selalu menyusahkan dia dengan masalah-masalah saya, jadi saya bertindak untuk menguruskan semua hal saya sendiri tanpa menyusahkan dia,tetapi kerana proses jualan rumah ini lambat dan dokumen-dokumen saya tinggalkan di rumah mak saya,dia menuduh saya menipu dia,dalam masa yang sama, saya tetap menjaga maruah dia dari tanggapan adik beradik saya yang dia mahukan harta saya sepanjang bernikah dengan saya,saya tidak mahu adik beradik saya memandang serong pada suami saya.

Untuk pengetahuan anda, lagi 2 bulan, perbicaraan ke atas saya dijalankan, sabit kesalahan saya akan dipenjarakan tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun,tetapi saya berada di pihak yang benar,saya berani bersumpah yang saya difitnah dan saya yakin saya akan menang tetapi saya masih tidak mampu untuk membayar kos melantik peguam. Yang terbaru, ibu mertua saya maklumkan pada saya,yang suami saya sudah keluar dari rumah mertua saya dan dia ada menghantar sms kepada saya yang dia akan tinggalkan saya hingga bila-bila dan pandai-pandailah saya untuk teruskan hidup…

Saya terlalu cintakan suami saya, siapa pun dia, apa sahaja yang dia lakukan pada saya, saya terima seadanya, sedikit pun tidak saya bencikan dia walau caci maki,seranah,hinaan,fitnah dan hinaan kepada keluarga saya dan saya tidak berdendam pada suami saya. Dan keluarga saya tidak pernah tahu sedikit pun tentang perlakuan dia terhadap saya.

Apa yang patut saya lakukan, saya yakin, dia hanya manusia biasa, satu hari nanti,hatinya akan lembut dan dia akan berubah menjadi baik. Saya mahu dia pulang kepangkuan saya dan saya mahu mulakan hidup baru bersama dia.

___________________________________________________________________________

Terus terang saya katakan, puas sudah saya memikirkan ayat @ mencari kata-kata ajaib untuk dinukilkan di sini agar sikit sebanyak dapat membantu puan diatas untuk menghadapi dugaan ini. Namun saya minta maaf, saya gagal untuk mencari kata-kata ajaib itu.

Apa yang boleh saya katakan cuma ; “BERSABAR DAN REDHA LAH ATAS UJIAN ALLAH INI! SESUNGGUHNYA UJIAN ITU ADALAH TANDA KASIH SAYANG ALLAH KEPADA PUAN.  SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA PUAN!”