22 April 2013

Facebook atau Face It



Generasi cyber

Bilik guru kelihatan sepi. “Ramai yang masih mengajar agaknya,” fikir Jefri. Rehat sebentar di meja guru, sebelum sambung mengajar.

Sempat juga mendengar perbualan cikgu-cikgu di meja bersebelahan. Mungkin mereka juga tiada kelas mengajar. Topik perbualan berkaitan Facebook, laman sosial yang terkenal di seluruh dunia.

Cikgu A: “Zaman sekarang ini susah kalau tiada Facebook. Maklumlah, semua maklumat diperoleh di situ. Berita sukan, isu semasa dalam dan luar negara, tips kesihatan, penganjuran program dan pelbagai lagi. Semuanya update. Tak perlu lagi menonton berita atau membaca akhbar.”

Cikgu B: “Betul juga. Sekarang ini, dengan satu klik, kita boleh post, share, dan like apa yang kita nak. Tak dinafikan, ramai juga post status yang bersifat peribadi. Hari ini masak apa, hari ini bergaduh dengan siapa, hari ini keluar dating dengan siapa. Semua nak post. Macam diari pula.”

Cikgu A: “Hmm. Itulah. Kadang-kadang sakit hati pun ada. Sehinggakan hal rumahtangga yang bersifat peribadi pun, ingin dikongsi di Facebook, samada si suami atau si isteri. Bahaya juga.”

Cikgu B: “Apabila ditegur, dikatakan kita busy body. Marah. Zaman IT memang canggih. Apabila kita berselisih pendapat di alam maya, penyelesaiannya adalah unfriend dalam Facebook.”

Cikgu A: “Haha. Betul tu. Saya setuju. Kalau sakit hati, kita block orang tu dalam Facebook.”

Cikgu B: “Eh. Saya baru sedar. Kita belum jadi friend dalam Facebook kan? Saya add as friend cikgu ye. Nanti cikgu approve. Eh, ustaz, dah lama ke ustaz di situ? Tak perasan pula. Haa ustaz, apa Facebook ustaz? Saya nak add as friend ustaz juga.”

Tanpa disedari, Jefri juga ‘terpaksa’ turut serta dalam perbualan mereka. Namun, hanya seketika, kerana Jefri ada kelas mengajar.

Membuka aib sendiri

Jangan jadikan Facebook sebagai diari. Post perkara yang tidak sepatutnya. Jangan mengadu masalah kita di Facebook semata-mata, tetapi face it! Hadapi masalah kita. Mengadu masalah kita kepada Allah.

Tidak semua perkara perlu kita hebahkan kepada umum. Tambahan pula perkara tersebut bersifat peribadi, sehingga mengaibkan diri sendiri.

Upload gambar yang tidak menutup aurat dengan sempurna, dengan posing yang menggoda. Comment status bertujuan untuk mengumpat dan menjatuhkan orang lain. Post status mesra antara boyfriend dan girlfriend.

Mungkin anda tidak berniat apa-apa, tatkala melakukan perkara sedemikian di alam maya. Tetapi, bagaimana pula dengan orang yang membacanya? Anda sendiri yang membuka pekung di dada. Maka, jangan disalahkan orang yang menegur.

Jefri berasa sedih. Ada yang bangga, menceritakan maksiat yang telah dilakukan. Segalanya diceritakan di Facebook. Di mana sifat malu anda? Kenapa anda membuka aib sendiri?

Bersumberkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu, ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
"Semua umatku diampuni kecuali orang-orang yang melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan. Salah satu contoh perbuatan maksiat ialah, seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, padahal Allah menutupinya, namun kemudian pada pagi harinya ia bercerita kepada orang lain: 'Hai fulan, semalam aku melakukan ini dan itu." Sebenarnya ia tidur malam dengan ditutupi aibnya oleh Tuhannya, tetapi pagi harinya ia menyingkap sendiri tabir Allah itu darinya.”
(Hadith riwayat Al-Bukhari(6069) dan Muslim(6990))

Jangan terpedaya

Syaitan dan hawa nafsu akan melakukan apa sahaja, untuk menyesatkan manusia. Membuatkan kita merasa bangga dengan kejahatan yang dilakukan. Sehingga kita tidak berasa malu sungguhpun melakukannya di khalayak ramai atau di alam maya. Kita akan menjadi insan yang rugi, jika Allah juga sudah tidak mempedulikan kita. Tidak memberi peringatan kepada kita. Membiarkan kita bergelumang dengan dosa.

Ingat! Manfaatkan dengan sebaiknya. Facebook boleh jadi sumber pahala kita di akhirat. Boleh juga menjadi sumber dosa di akhirat kelak.

Bagaimana ianya boleh menjadi sumber dosa? Apabila kita menggunakan Facebook untuk upload gambar yang tidak menutup aurat. Menggunakan untuk mengumpat dan menghina orang, dan pelbagai lagi perkara negatif.

Bagaimana ianya boleh menjadi sumber pahala? Apabila kita memanfaatkan Facebook dengan sebaiknya. Share perkara yang mendatangkan kebaikan kepada umum. Banyak ayat Al Quran, Hadith dan kisah teladan yang memberikan manfaat. Tetapi, awas! Pastikan dulu ia daripada sumber yang sahih! Selidik dahulu. Dikhuatiri niat melakukan kebaikan, sebaliknya mendapat dosa pula, kerana menghebahkan perkara yang tidak sahih.

Masih belum terlambat

Kadangkala, Jefri juga tidak menggunakan Facebook dengan sebaiknya. Ada sahaja post atau share perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Jefri juga manusia biasa, bukannya malaikat. Sering melakukan kesilapan. Dengan teknologi Facebook Timeline, kita dapat mengakses semua post yang terdahulu. Sejak daripada kita register Facebook sehinggalah sekarang. Memaparkan apa sahaja yang kita lakukan di Facebook. Maka Jefri gunakan peluang tersebut untuk delete post yang tidak mendatangkan manfaat. Sungguhpun penat, ia berbaloi.

Itu hanya di Facebook. Kita mampu delete semula post kita yang terdahulu.

Bagaimana pula ketika di akhirat kelak? Allah akan memaparkan semua yang telah kita lakukan, sejak kita register sebagai hamba Allah sehinggalah saat kematian. Segala kebaikan dan keburukan akan dipaparkan. Adakah kita boleh delete begitu sahaja dosa yang kita telah lakukan, seperti kita delete post di Facebook?

Bertaubat sebelum terlambat. Muhasabah diri. Facebook atau Face It (hadapinya).