Kehidupan
kita didunia ini penuh dengan ujian. Allah sengaja mengadakan ujian itu
semata-mata. Kenapa?
Dialah yang menjadikan
mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah
diantara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia maha kuasa (membalas amal kamu),
lagi maha pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat) " (Surah al-Mulk
Ayat : 2)
Segala yang ada didunia
ini hanyalah ujian semata-mata. Tiada manusia yang akan terlepas dari
melaluinya. Tidak kira apapun pangkatnya, selagi dia bernama manusia, maka dia
akan merasai ujian dari Allah. Bermula dari Nabi Adam hinggalah kepada
pemimpin-pemimpin, raja-raja, saudara mara kita dan juga termasuk diri kita
sendiri. Sebagai seorang yang beriman kepada qada' dan qadar dari Allah, kita
wajib percaya bahawa ujian itu datangnya dari Allah.
Ada orang menganggap
bahawa apabila mereka ditimpa kesusahan maka itu adalah bala atau kemurkaan
dari Allah. Dan apabila mereka mendapat kemewahan dan kesenangan maka pada
mereka itulah rahmat yang dikurniakan. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat.
Kemewahan itu juga adalah ujian dan bukan hanya ujian itu apabila kita mendapat
kesusahan.
Saidina Abu Bakar
pernah berkata bahawa, “Ketika orang-orang Islam menerima ujian kesusahan, kami
semua dapat mengharunginya. Tetapi apabila datang ujian kemewahan,
hampir-hampir kami tewas.” Kenyataan Saidina Abu Bakar ini sebenarnya
menunjukkan bahawa ujian kemewahan adalah lebih dahsyat lagi jika dibandingkan
dengan ujian kesusahan kerana apabila ditimpa susah, kita sentiasa akan
mengingati Allah. Tetapi apabila kita diuji dengan kesenangan, maka kita
teramat mudah untuk menjadi lupa diri, sombong, bakhil, takbur dan sebagainya.
Abu Hurairah dan Said
Al-Magburi meriwayatkan: "Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar.
Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya. Nabi diam saja, begitu juga Abu
Bakar. Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata
kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari
situ. Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: "Ya Rasulullah, dia memaki saya dan
engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun
lalu pergi." Rasulullah lantas menjawab: "Sesungguhnya malaikat
mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi
ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk
dan saya tidak suka duduk bersama syaitan." Rasulullah kemudian
bersabda lagi: "Allah akan
memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil
mengharapkan keredaan Allah." Abu Said al-Khurdi pula berkata:
Rasulullah ada bersabda: "Awaslah
kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak
Adam.” "Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia
duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring." Abu Hurairah
al-Bahili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda:
"Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar,
maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredaan pada hari kiamat."
Kesabaran adalah
tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat.
Ingatlah, sesungguhnya
ketika dimarahi itu kita telah didatangi ketenangan yang kita sendiri tidak
dapat lihat. Ukirlah sebuah senyuman ketika anda sedang dimarahi.
Ada pula di antara
manusia cepat merasa kecewa, marah serta putus harap apabila kita ditimpa
kesusahan. Itu bukanlah sifat seorang muslim kerana orang muslim tiada erti
putus asa atau kecewa baginya. Mereka yang kecewa ini lekas hilang kesabaran
terutamanya apabila kehilangan sesuatu yang paling bermakna dalam kehidupan
mereka. Sehinggakan ada juga yang menjadi lebih teruk dengan sanggup untuk
menyalahkan takdir Allah.
Kita sebagai umat Islam
dilarang daripada berkeluh kesah diatas ujian yang menimpa kita. Dalam
menghadapi ujian samada susah atau senang kita mestilah bersabar. Ya benar,
bukan perkara yang senang bagi orang yang terkena ujian menterjemahkan
perkataan SABAR itu dalam bentuk praktikal tetapi percayalah, itulah perkara
yang paling mulia apabila ditimpa ujian. Dengan kesabaranlah Allah akan
mengangkat darjat kemuliaan kita. Dengan sabar juga hati menjadi tenang kerana
mengingatkan kita bahawa ini adalah ujian dari Allah.
Sebuah hadith daripada
Abu Yahya Shuhaib bin Sinan.Nabi s.a.w bersabda "Sungguh unik urusan orang
yang beriman itu. Semua urusannya baik baginya. Hal ini hanya dimiliki oleh
orang yang beriman. Jika dia memperolehi kegembiraan, dia bersyukur dan itu
baik baginya. Jika dia dirimpa kesulitan, dia bersabar dan itu baik baginya. "
Riwayat Muslim.
Hadis ini menunjukkan
bahawa senang atau susah bagi seorang muslim, adalah kebaikan dan bernilai
pahala di sisi Allah jika dia bersabar dan redho menerimanya. Seorang mukmin
sejati akan sentiasa bersabar dan bersyukur kepada Allah samada diwaktu senang
ataupun susah. Dan pastinyalah atas kesabaran itu,maka mereka akan merasai
ketenangan hidup.
Lihatlah kesabaran para
nabi-nabi apabila datangnya ujian dari Allah. Lihatlah ujian yang ditimpakan
keatas Nabi Ayyub. Baginda menghadapi ujian kesakitan, kematian anak-anaknya
dan juga kehilangan harta benda. Begitu juga Nabi Nuh dengan tohmahan kaumnya,
Nabi Musa dengan kedegilan kaumnya dan banyak lagi. Dek kerana kesabaran yang
tinggi yang dimiliki oleh merekalah maka Allah mengangkat darjat mereka.
Oleh itu haruslah kita
menanamkam didalam pemikiran kita bahawa hidup ini tidak lain hanyalah ujian
semata-mata. Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasa mengingati
bahawa semua kejadian adalah datang dari Allah. Setiap kejadian Allah itu pula
ada hikmahnya. Cepat atau lambat, pasti kita akan dapat melihat hikmah itu.
Mungkin hikmah itu akan kita lihat didunia ini, atau mungkin juga hikmah itu
hanya dapat diketahui diakhirat nanti.
Semoga Allah akan
sentiasa meletakkan diri kita semua dalam golongan orang yang mendapat rahmat
dariNya. InsyaAllah.