16 May 2011

Hempedu Bumi



Nama Lain : Hempedu tanah, akar cerita, pokok cerita (Malaysia), king of bitter, creat, green chireta (Inggeris), kalmegh (India), Kirta (Sanskrit), Chuan xin lian, Yi jian xi, Lan he lian (China), Sambiloto (Indonesia)

Famili : Acanthaceae
 
Lokasi Dijumpai : Malaysia, Thailand, India, Indonesia

Khasiat
Pernah dilaporkan air rebusan dari daun diminum bagi mengubati tekanan darah tinggi, kencing manis, sakit tekak (tonsillitis), selsema, sakit dada, cirit birit dan demam. Ia juga diminum sebagai tonik. Daun yang ditumbuk juga di guna sebagai ubat penahan sakit bagi gigitan ular dan serangga berbahaya. Ia juga digunakan sebagai pelawas pembuangan air besar, menghapuskan cacing dalam sistem pencernaan dan mempercepatkan pembekuan darah.
Bahan aktif
Kandungan utama hempedu bumi ialah suatu sebatian yang amat pahit yang dikenali dengan nama andrografolida, yang pertama kali ditemukan pada tahun 1911. Andrografolida didapati pada seluruh bahagian pokok Hempedu Bumi tetapi paling tertumpu pada bahagian daunnya. Andrografolida, bertindak sebagai anti oksida kuat, dengan itu melindungi hati dan sistem pencernaan.Ujian makmal dan klinikal telah membuktikan keberkesanannya dalam kes kerosakan hati akibat ketoksikan (keracunan), fungsi hati yang lembap, dan hepatitis.

Hempedu Bumi juga terbukti berupaya mencegah pengumpulan kolesterol dalam sistem peredaran darah ke tahap yang lebih ketara berbanding dengan minyak ikan. Hempedu Bumi paling sesuai bagi mereka yang lazim memakan makanan kaya kolesterol. Secara tradisi herba ini juga telah lazim digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, manakala hasil penyelidikan saintifik moden juga telah mengesahkan kesan hipotensi (pengurangan tekanan darah) yang sederhana dan selamat.

Kajian di Negara Barat merumuskan bahawa, hasil daripada penggunaan Hempedu Bumi, keletihan/kelesuan berkurangan sebanyak 30%, menggigil berkurangan sebanyak 50%, sakit tekak berkurangan sebanyak 40%, sakit otot berkurangan sebanyak 48%, dan pening dan sakit kerana resdung berkurangan sebanyak 30%, Juga risiko untuk dijangkiti selsema didapati dua kali ganda lebih rendah apabila mengamalkan Hempedu Bumi.

Kajian ini lalu merumuskan bahawa Hempedu Bumi memberikan tahap keberkesanan yang tinggi dalam mengurangkan kejadian dan keterukan gejala-gejala selsema biasa bermula pada hari kedua rawatan. Tiada kesan-kesan buruk yang tidak diingini dilihat atau dilaporkan.

Cara penggunaan
Bagi merawat darah tinggi, sehelai daun yang telah dibersihkan, diletakkan di dalam gelas dan tuangkan air panas. Tutup dan biarkan selama 2 minit. Minum perlahan-lahan kerana rasanya yang terlalu pahit terutama bagi yang baru pertama kali mencuba. Amalkan sehari sekali. Jika sudah sembuh, tidak perlu lagi. Memadai mengamalkannya seminggu sekali.