Ini contoh kes biasa yang kami lihat di wad. Gambar menunjukkan pendarahan dalam otak (warna putih) di dalam imej imbasan CT scan. Pendarahan dalam otak antara salah satu sebabnya adalah Darah Tinggi yang TIDAK DIKAWAL atau TIDAK TERKAWAL.
Yang sedihnya, pesakit ramai yang muda lagi, anak masih di sekolah rendah. Umur 40-50an. Bila diberitahu ada Darah Tinggi, yang saya lihat di wad tinggal kan ubat dan makan produk entah apa-apa. Konon sihat dan tup tup masuk wad terus tak sedar diri. Ramai yang juga tak sempat masuk wad; meninggal dunia di rumah atau Zon Merah Jabatan Kecemasan.
Di Malaysia, 30.3% penduduk berumur 18 tahun mengalami penyakit darah tinggi (MHSR 2015). Majoriti (56.7%) tidak tahu mereka ada darah tinggi. Dan saya pasti, yang selebihnya walaupun mereka tahu ada, masih tidak terkawal.
Nasihat saya:
1. Pergi buat saringan ada Darah Tinggi atau tidak; terutamanya yang ada ahli keluarga yang berpenyakit ini. Statistik menakutkan.
2. Elakkan penyakit seperti ini dengan gaya hidup sihat. Jaga makanan anda, jaga berat anda dan sentiasa beriadah.
3. Kalau dah ada Darah Tinggi, jangan memandai-mandai sendiri. Antaranya: temujanji klinik JANGAN tinggal, jika Doktor syorkan ubat jangan tinggal. Jika ada masalah dengan ubat, beritahu Doktor; jangan buat andaian dan keputusan sendiri. Ada yang ambil selang sehari lah, suka suki sahaja.
4. BINCANG baik-baik dengan Doktor apa yang terbaik untuk anda. Anda manusia, satu orang tak sama dengan orang lain. Risiko masing-masing lain.
5. Walaupun anda TIDAK RASA APA-APA atau rasa lebih baik selepas ambil produk dan tinggalkan ubat Doktor, TIDAK SEMESTINYA dalaman anda sihat. Banyak produk menipu saja pun. Samada ia merosakkan organ dalaman seperti buah pinggang atau produk anda makan ada bahan yang buat anda tak rasa apa-apa sampai anda dapat komplikasi pendarahan macam gambar ini. Anda boleh terus maut, terlantar diatas katil/kerusi roda sehingga ke akhir hayat.
6. Untuk kesekian kalinya: ubat Darah Tinggi TIDAK MEROSAKKAN BUAH PINGGANG jika terus dipantau berkala. Doktor anda akan buat ujian fungsi buah pinggang berkala.
Tahun 2018, ayuh kita semua berubah.
Kesihatan anda, hak milik anda.
Jika anda tidak menjaganya, bagaimana anda nak menjaga tanggungan anda!
Rafidah Abdullah
Pakar Perunding Perubatan & Buah Pinggang