7 May 2017
TAHAN MARAH
Allah berfirman, ” Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya di waktu senang maupun di waktu sempit, dan orang-orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan orang. Allah suka kepada orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran : 133-134)
Ibnu Kathir dalam tafsirnya antara lain menafsirkan: “ Mereka tidak melepaskan kemarahannya kepada orang lain, tetapi sebaliknya, mereka menahannya dengan mengharap pahala di sisi Allah سبحانه وتعالی ."
” Apabila seseorang kamu marah hendaklah dia diam." Nabi صلى الله عليه وسلم mengulangi ucapannya 3 kali. (HR Ahmad, Tarmizi & Abu Daud)
” Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring." (HR Ahmad & Abu Daud)
Imam al-Ghazali رحمة الله تعالى berkata: " Ahli ilmu berpendapat bahawa berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bermakna orang yang suka marah bererti telah mengikat persahabatan dengan syaitan."
" Sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwuduk.” (HR Ahmad & Abu Daud)
Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda ; ” Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah kalaulah kalimah tersebut diucapkan oleh orang yang marah itu nescaya akan hilang kemarahannya iaitu A'uzubillahi minasy syaitonir rajiim” (HR Bukhari dan Muslim)
Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, " Bukanlah orang yang kuat itu orang yang menang bertumbuk, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal diri daripada sifat marah." (HR Bukhari & Muslim)
" Sesiapa menahan kemarahan pada hal dia mampu meluahkannya, maka Allah kelak akan memanggilnya di hadapan makhluk-makhluk hingga Allah memperkenankan kepadanya untuk memilih bidadari yang dikehendakinya." (HR Abu Daud, At Tirmidzi, Ibnu Majah)
“ Seorang hamba yang menahan marah kerana Allah Ta’ala melainkan Allah akan memenuhinya dengan keamanan dan keimanan”. (HR Abu Daud)
“ Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepada saya ilmu yang dapat mendekatkan saya ke syurga dan dijauhkan dari neraka”. Nabi menjawab, “Jangan luahkan kemarahanmu." (HR. Thobrani)
Ada seorang lelaki berkata kepada Nabi صلى الله عليه وسلم , “ Berilah saya nasihat." Nabi bersabda, “Tahan marah”. Lelaki itu ulangi permintaannya dan Nabi tetap menjawab, “Tahan marah”. (HR. Bukhari).