1 March 2011

CATATAN : Tauladan Binatang

Nota: Kisah yang di fwd kepada saya

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara. Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi Hulu Bendul di kuala Pilah, nun di depan sana ,saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hamper, saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta.

Kereta semakin hamper dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.

Tapi paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat perutnya yang buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul sesuatu berwarna kelabu. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat itu?

Benda kelabu itu adalah anak yang masih dalam kandungannya!

Pada ketika itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya pasti, si ibu monyet tadi akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya, nyawanya melayang sebelum sempat melihat wajah ibu.

Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak kawanan monyet tadi bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu tadi, tapi kemudian bertempiaran semula ke tepi jalan kerana hamper saja dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.

Mungkin kepada pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa seekor monyet.

Ia hanya monyet. Haiwan hodoh. Hidupnya di hutan, tidak setaraf dengan manusiawi.

Tapi tidak kepada saya. Pulang bercuti, saya terus catatkan surat ini, kerana peristiwa yang saya sebutkan tadi sebenarnya telah mengingatkan saya kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada awal 1990-an.

Ketika itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya diajak oleh seorang bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya bukanlah minat memburu, tapi daripada bosan terperap di rumah, saya terima ajakan bapa saudara saya tadi.

Masih saya ingat, beberapa jam berburu, matahari pun sudah meninggi, tapi tiada seekor haiwan pun melintas di hadapan kami. Pelanduk, napuh, rusa, ayam hutan dan burung yang selalu berlegar di hutan itu, seolah-olah bersembunyai jauh dari kami. Hutan itu sepi.

Saya bertambah rimas, pak cik pula saya lihat mula kecewa. Hari kian beranjak petang, pak cik menepuk-nepuk senapang Relanya. Kata pak cik, "Kita balik ajalah, hari ni tak ada apa-apa.Mungkin esok ada habuan."

Kami berjalan pulang, tapi selang dua tiga puluh langkah, kami terdengar suara riuh-rendah di sebalik pokok-pokok besar di hadapan kami. Saya mengamati suara itu, ternyata ia dating dari sekawan monyet yang sedang memakan buah-buah hutan.

Saya perhatikan pak cik begitu berminat memerhatikan haiwan itu. Di bibirnya ada sebaris senyuman. Senyuman yang saya faham benar maksudnya.

Adakah pak cik hendak menembak monyet-monyet itu?

"Haa. Pak cik nak tembak ibunya, lepas tu pak cik nak ambil anaknya, nanti boleh bela," begitu jawapan pak cik.

Masih saya ingat juga, saya beberapa kali mendesak pak cik supaya membatalkan hasratnya itu, tapi gagal. Saya gagal mengendurkan niatnya.

Tidak akan saya lupa kata-kata pak cik petang itu, "daripada balik tangan kosong? " lalu dia mengacukan senapangnya ke arah kawasan monyet tadi, dan...

DAMMM!!!

Demi berdentum saja senapang, bercempera dan lintang-pukang monyet-monyet tadi menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan bunyai ranting patah serta jerit pekik haiwan berkenaan.

BUUUPP! Ada suatu benda yang jatuh ke tanah.

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berdekatan kami. Saya dan pak cik terus mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang tidak mengerti apa-apa terlepas dari pelukan, tercampak tidak jauh dari ibunya sambil menjerit-jerit.

Si ibu merengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan besusah payah sambil tangannya mencapai akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekap perut yang masih berdarah. Ia berusaha melangkah tapi terjatuh semula. Digagahi lagi sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan jatuh, bangun mendapatkan ibunya.

Si anak itu terus saja memeluk ibunya yang kesakitan. Masih terbayang jelas di ingatan saya bagaimana si ibu monyet tadi memegang tubuh dan menatap wajah anaknya puas-puas, kemudian dicium berkali-kali.

Setelah itu dibawa si anak ke dada lalu disuakan susunya. Saya dan pak cik terdiam melihat si anak mengisap susu manakala ibunya mengerang-ngerang perlahan seakan memujuk sambil menahan sakit.

Hati saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak tahu bahawa ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya. Saya tidak mampu menyelami fikiran ibu monyet tadi, tapi mungkin ia ingin memeluk anaknya buat kali terakhir, sepuas-puasnya, kerana selepas ini ibu akan pergi.

Ibu tidak akan dapat memelukmu lagi apabila kau kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, juga melindungimu bila kau kepanasan.

Mata si ibu monyet itu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat si anak seolah-olah enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama anaknya.

Matanya saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang kami dengan pandangan sayu, mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya manusia.

Dosa apakah yang aku lakukan hungga aku ditembak?

Salahkah aku bebas ke sana ke mari di bumi indah ciptaan Allah ini?

Tubuh ibu monyet itu berlumuran darah, begitu juga dengan si anak yang masih di pelukannya. Beberapa detik kemudian, dengan tenaga yang masih berbaki, kami lihat si ibu mencium anaknya untuk ke sekian kalinya. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ditanah, bisa penabur dari muncung senapang pak cik tadi tidak dapat ditanggung lagi.

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan melarikan diri dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, si anak tadi menyusu semula.

Di saat itu perasaan saya terlalu sebak. Saya perhatikan pak cik, dia beberapa kali menggetap bibir cuba menahan air matanya daripada tumpah ke pipi.

Tapi bila melihat si anak monyet tadi menjerit dan menggoncang-goncang tubuh ibunya, akhirnya air mata kami tumpah juga. Saya betul-betul kesal dengan apa yang berlaku.

Susana sunyai kembali. Si anak monyet itu kami rangkul dan bawa pulang, Biarpun ia terus menjerit-jerit dan enggan berpisah dengan ibunya yang telah mati.

Di dalam kereta saya hanya mendiamkan diri. Begitu juga pak cik. Pada ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang hodoh, tapi mereka juga ada perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa saying kepada ibu. Tapi kita manusia??

Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua minggu kemudian, anak monyet tadi mengikut jejak ibunya. Pak cik memberitahu saya, anak monyet itu tidak mahu makan dan asyik menjerit-jerit sahaja. Mungkin ia rindukan ibunya. Apabila malam, keadaannya bertambah teruk, dan akhirnya mati.

Kini saya sudah bekerja dan berumah tangga. Peristiwa tadi sudah saya ceritakan kepada anak dan isteri saya agar mereka mengerti bahawa haiwan juga punya perasaan. Yang kejam adalah manusia, walaupun kitalah satu-satunya makhluk yang Tuhan anugerahkan akal fikiran.

Tidak lupa saya memberitahu mereka betapa agung dan sucinya kasih sayang ibu.

Soalan: Pernahkah anda menghadapi sendiri pengalaman kisah seperti ini?