22 August 2014

Ketika Dia Menghampiri...




Mungkin kita pernah merasakan kesunyian, kegelisahan atau suatu perasaan ganjil yang membuatkan diri kita serba tidak kena. Yang ketika itu terjadi, kita merasa diri kita ini amat tidak selesa, fikiran seakan hilang entah ke mana atau melayang jauh ke mana. Hati terasa begitu terseksa sehingga di malam hari pun kita selalu terjaga. Kadang2 terbawa hingga ke siang. Seolah-olah ada yang tidak kena dengan diri kita. Sakitkah kita? Bila hal itu terjadi tatkala kita merasa tidak seorang pun yang dapat memahami kita, tidak ada tempat untuk berkongsi cerita, berkongsi gundah gulana atau berkongsi rasa. Walaupun ada yang meluahkan kepada insan tersayang. Namun, tidak banyak membantu. Hidup akan terasa semakin terseksa sehingga tidak lagi bermaya..

Bila itu kita rasakan. Mungkin ada yang selama ini kita lupakan, bahawa ketika kita sedar dari mimpi dan terpegun seketika, di saat itu sebenarnya Allah ada. Dia selalu memantau dan menemani kita dengan kasih sayang yang begitu mendalam. Dibekalnya oksigen secukupnya tanpa dipinta. Dia selalu mengiringi tidur kita yang sepi dan menjaga diri kita yang lemah ini. Namun, hal ini hanya akan terjadi bila kita mahu meyakini bahawa Allah itu benar2 ada dan tentunya namaNya terpahat di hati kita. Dengan kata lain, kita mahu mengimani dan mencintaiNya dengan sepenuh jiwa.

Pernahkah kita mengalami keadaan ini?

Nikmat Allah begitu banyak sehingga manusia terleka dengan nikmat2 itu. Malah kita seringkali terlupa bahawa Allah telah membuat hati yang muram menjadi ceria, yang suram menjadi bercahaya malah yang lemah menjadi bertenaga. Kita lupa bahawa Allah boleh menganugerahkan pelbagai rasa dalam diri kita untuk menguji betapa kuat cinta kita padaNya. Semoga dengan perasaan itu kita mampu berada lebih dekat denganNya. 

Sabda rasulullah s.a.w. : "Sesungguhnya org mukmin itu adalah org yg luarbiasa. Seluruh perkara dalam hidupnya bernilai positif baginya. Ketika mendapat kemudahan maka dia bersyukur. Sesungguhnya itu baik untuknya. Dan ketika mendapat kesulitan maka dia bersabar dan itupun baik baginya."

"Ya Allah, perbaikilah agamaku yg memelihara urusan hidupku, perbaikilah duniaku yg padanya aku menjalani kehidupanku, dan perbaikilah akhiratku yg pdnya menjadi tempat kembaliku..."

LELAKI TUA DENGAN KAIN PELIKAT



Saya jumpa lelaki  tua  ini.  Selalu  lepas  Asar  dia  iktikaf  di  Masjid.  Baca  al  Quran. Umur  70an. Duduk  rumah  dekat  masjid.  Rumah agam besar dan  menarik. Hartanya disana sini, bangunan komesil tengah bandar. Milikan rm35 juta. Pendapatan  pasif  kutip  sewa  rm70k  sebulan. Belanja rm20k, rm50k  sedekah dan infaq. Dia tenang bersendirian melayani anak cucu. Saya mahu  ambil gambar.  Dia  menolak, katanya  malu.  Saya  minta formula.  Dia berikan 15.  Saya catat dan mahu kongsikan. Bolehkah saya kongsikan?

1.  Pertama,  dia  kata  muliakan  ibu  bapa.  Doa  ibubapa  adalah  segala  galanya. Ia  tiada  hijab terus  termakbul.  Raikan  ibubapa, jaga  mereka sepanjang usia. Doakan mereka apabila telah tiada.

2.  Jaga  masa.  Ia  datang  dan  berakhir.  Urus  masa  antara  5  waktu  solat.  Aturkerja  dengan sebaik cara.  Pada  setiap  waktu  ada  perkara yang  kita  mulakan. Ada di masjid  sebelum  azan, masuk  waktu  terus  solat.  Selepas solat bertebaran berusaha cari rezeki.

3.  Berdoa  dengan  khusyuk.  Serah  pada  Allah.  Tawakal.  Allah  tahu  apa  yang terbaik untuk kita.

4. Namun begitu kena usaha. Usaha pagi petang siang malam. Usaha sungguh-sungguh.  Usaha bermula  dengan  pasang  niat.  Lepas  itu  buat, buat dan buat. Sampai dapat.  Tidak  dapat,  usaha lain  pula.  Masa  buat  baca  al  Quran.  Maka dia pun nasihatkan saya, "Orang  yang  membaca surah Al-Ikhlas  satu  kali  sama  ganjarannya  dengan memperoleh  ganjaran  membaca  sepertiga  Al-Quran. Jadi  jika  membaca  surat Al-I khlas tiga kali mendapat ganjaran seperti membaca satu Al-Quran. 

Rasulullah  SAW  pernah  bertanya  “Siapakah  antara  kamu  yang  dapat  khatam Qur’an  dalam jangka  masa  dua-tiga  minit?”  Tiada  seorang  dari  sahabatnya yang  menjawab.  Malah  Umar Al Khattab  r.a  telah  mengatakan  adalah mustahil untuk mengatam Qur’an dalam begitu cepat. Ali Abi Talib r.a pun membaca surah Al-I khlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah  Al-I khlas  sekali  ganjarannya  sama  dengan  membaca 10  juzuk kitab Al-Quran.  Apabila  membaca surah  Al-I khlas  sebanyak  tiga  kali  khatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juz uk Al-Quran. Sabda Rasullullah  SAW:  “Sesiapa membaca ‘Qul  huw Allahu  Ahad’  sebanyak  3 kali,  dikurniakannya  pahala  seperti  pahala  orang  yang membaca  Al-Quran sekali khatam.” Lelaki tua  itu berkata,  mulut  dia  tidak  berhenti  baca  surah  al Ikhlas.  Kadang-kadang  sampai  1000  kali  sehari.  Dan  tiap  lepas  asar  masa  dia iktikaf dan baca Al Quran.

5.  Jaga  Kesihatan.  Jaga  kesihatan.  jaga  kesihatan.  Banyak  berjalan  kaki. Banyak. minum air masak atau air mineral.  Jaga makanan. Kata lelaki tua ini lagi:

6.  Hidup  kena  buat  target.  Ada  wawasan.  Ikat  perut.  Usah  membazir.  Mula dengan  makanan. Makanan  dan  minuman  mesti  habiskan.  Usah lagak  orang kaya,  padahal  kita  teman  pada syaitan.  Sentiasa  belanja  orang.  Makan  dikedai kecil.  Perhatikan  kebersihan  kedai.  Apabila bersih masuk.  Disitu  kita  temui ramai orang susah. Belanja mereka.

7. Waktu maghrib  usah  ada  atas  jalan.  Apabila  dalam  perjalanan  berhenti.  Cari masjid.  Apabila dirumah,  tutup  pintu  rapat  rapat.  Malam buang  sampah  sarap. Basuh  pinggan  mangkuk.  Pastikan semua  teratur  sebelum  tidur.  Gunakan waktu  antara  maghrib  dan  isyak  untuk  tuntut ilmu  agama. Boleh  dengar  orang mengajar.  Boleh  juga  baca  kitab.  Lepas  Isyak  buat  kira  kira  untung rugi. Siapkan bahan dan pakaian untuk kerja esok hari.

8.  Usah  takut  jumpa  orang.  Walaupun  5  minit  mahu  berjumpa.  Pergi  sendiri. Usah  pakai posmen apabila  depani  soal  penting.  Kita  rangkak panjat bangunan.  Tunggu.  Biarlah  kita  ambil  masa berhari  hari  perjalanan.  Yang penting  sampaikan  dengan  tangan  sendiri.  Tenung  mata dan baca "ayat  ayat pengasih".  Hehehe.

9.  Balik  malam,  usah  cakap  penat.  Usah  cakap  letih.  Usah  cakap  sakit.  Apabila sakit  senyum. Allah  sedang  luruhkan  dosa.  Lepas  sakit  kita lagi  bertenaga. Siapakah  dalam  dunia  yang  tidak pernah  rasa  sakit.  Jatuh.  dihina.  Semua termasuk Rasulullah SAW. Namun, baginda ajar kita maafkan semua orang.

10.  Niat  mahu  kaya.  Niat  mahu  bantu  ramai  orang.  Niat  mahu  jadi  manusia berguna.  Niat  itu macam  tulis  surat.  Dulu  tiada  internet, Macam  tulis  surat  la. Salah  tulis  alamat  akan  sampai salah  tempatlah  surat  itu.  Maka  tulis  alamat betul  betul.  Niat  mahu  kaya,  supaya  kita dapat bantu  ramai  lagi  orang.  Mahu membahagiakan ramai orang.

11.  Mula  berniaga,  usah  buat  pinjaman.  Cukup  dengan  apa  yang  ada ditangan.  Itu  masa  kita belajar.  Berniaga  ini  seni.  Kita  sahaja  tahu maksud lakaran.  Terbakar  tangan  biasa.  Namun, dengan  duit  sedikit  kita  tak  rasa sangat panasnya. Usah samakan orang dengan kita. Mereka lain tak serupa. (Kedai mula mula di mulut sahaja.) Senyum  mesra,  mulut  manis.  Usah  sombong. sentiasa  tegur  dan  sapa manusia.  Kita berniaga  dengan  manusia. Berniaga  dengan  siapa 
sahaja. 

Andaikata  kita  kaki  surau.  Berniaga  dengan  orang  surau  tidak  jadikan  kita  kaya. Berniaga dengan  semua  orang  walaupun  dia  haprak  keparat.  Yang  penting tunai. Ada duit kita cerita. Ada barang kita jual.

12.  Modal  kita  adalah  daya  penarik  yang  pada  diri  kita.  Daya  penarik  adalah ciri yang ada dalam diri yang buat orang lain rasa  senang  dengan kita.  Cari  ilmu tentang  produk.  Apabila  orang  tanya  jawab  dengan  lancar  dan  petah.  Jelas. Sebut  satu  demi  satu.  Usah  ragu  ragu  dan termanggu.  Kongsi  bukan  jual.  Ingat sentiasa  kongsi  dengan  semangat  membara.  Orang  jatuh  cinta  dengan semangat kita.

13.  Apa  lagi..ahaaa..masa  mula  niaga  biar  mendalam  dulu.  Usah  cepat  mahu melebar.  Fahamkah  apa  pakcik  cakap.  Maksudnya  biar berjaya satu  demi satu. Apabila  mula  guna  modal  sendiri,  kemudian  buat  sungguh  sungguh sampai  berjaya.  Lepas  dah  nampak  hasil,  mula  lebarkan. Masa  itu  boleh  la mahu buat pinjaman. Kita sudah ada ilmu bisnes. (Cukuplah  tu.  Masa  ni  Lelaki  Tua  Berkain  Pelikat  sudah  mahu  berhenti. Saya senyum  peluk  dia  dan  kata,  "baharu  ada  13  anak  sungai  di  syurga.  Tambah sampai 20".  Saya buat contengan kata dia dalam kepala)

14.  Kita  kena  buat  promosi  apa  jua  yang  kita  bisnes.  Produk  tak  boleh bercakap.  Sejak  bila  pula  lah  produk  boleh  bercakap.  Orang  kena tahu  apa yang  kita  buat.  Caranya  buka  bank  emosi  dengan  setiap  pelanggan  kita. Pelanggan  yang  puas  hati  datang  lagi.  Datang  lagi. Sekarang  pun  Pak  Cik masih  buat  bisnes  sikit  sikit.  Perumahan.  Pak  Ciik  buat  lima  rumah  sekali  siap. Siap  baharu  jual.  Pak  Cik  buat cantik. Jual  mahal.  Orang  beratur  mahu  beli. Jual  barang  siap. Usah  jual  barang  dalam  laut  yang  tidak  tahu  tersangkut  pada pukat atau tidak. Tidak berkat begitu.

15.  Apabila  bisnes  sudah  maju,  usah  berlagak. Dahulu  Pak  Cik  suka  gunting rambut  kedai  Nawi.  Dia  tanya  "Bagaimana  Pak  Cik  mahu gunting  rambut?  Pak Cik  jawab,  "Dengan  senyap  senyap  tapi  cantik".  Anak  fahamkah  apa  Pak  Cik cakap  ni?  Jawab  saya,  "Faham  Pak  Cik, saya  juga  gunting  rambut  disitu  sejak umur  15  tahun".  Hehehe.  Maksudnya  usah  gosip  sana  gosip  sini,  balun  orang sana  balun  orang  sini. Usah  peduli  rambut  atas  kepala  orang  lain.  Apa  yang utama rambut kita tersisir rapi. Bijak  anak  ni.  Apa  nama?  Yesss.  Dia  sudah  tanya nama saya.  Maknanya  saya sudah dapat Mentor Lelaki Tua Berkain Pelikat.

16. Anak..ingat kita hidup sungguh sebentar, macam main bola sahaja. 90 minit tamatlah  permainan.  Itulah  lebih  kurang  bandingan  hidup  didunia ini.  Kita  kejar bola.  Cuba  jaringkan  gol.  Apabila  sampai  tiupan  wisel,  tahulah  keputusan. Apabila  malaikat  maut  datang  jemput  kita,  habislah kita.  Ada  dunia  kekal  abadi di sana. Usahlah kita berlagak sombong masa berjalan atas bumi Tuhan ini. Paku  yang  nampak  tidak  rapat  ke  papan, akan  diketuk  oleh  Tuan  Rumah. Itulah perumpamaan hidupan. Rapat ke bumi.  Sujud pada Tuhan. Bacalah  surah  ar  Rahman  ayat  46,  "Dan orang  yang  takut  akan  keadaan dirinya  di  mahkamah Tuhannya  (untuk  dihitung  amalnya),  disediakan  baginya dua syurga"

17.  Pak  Cik  bersyukur  sampai  ke  tahap  ini.  Pak  cik  bersyukur.  Syukur  itu tandanya apabila Pak Cik  rasa  tak  layak  terima, namun  Allah berikan  juga.  PakCik  habiskan  masa  dalam  waktu  kecemasan  ini  dengan  memandang  yang memberi  nikmat  bukan  pada  nikmatnya.  Anakku bersyukurlah.  Masih  punya masa mengatur tapak menjejaki orang hebat dalam agama. Dunia  ini  tidak  lebih  dari  sayap  nyamuk  sahaja.  Usah letak  dunia  di  hati.  Tetapi berusahalah  supaya  dunia  dalam  genggaman  tangan  kita.  Pak  Cik  pakai kereta  besar,  bukan  untuk  apa  namun Pak  Cik  mahu  menikmati  apa  rasa sayap  nyamuk  itu.  Kalau  sayap  nyamuk  itu  sudah  rasa  nikmatnya,  bayangkan nikmat di syurga.

18.  Anak..Apabila  mahu  makan  nasi,  dapatkan  beras.  Cakap  cakap  dan sembang sembang tidak hasilkan beras. Rajin usaha. sampai waktu solat. Solat itu  tiang  agama.  Usah  terjerat  dengan  penyakit  umat  akhir  zaman.  Mereka cintakan dunia. Takutkan mati. Hakikatnya mati itu pasti. Namun, jangan kerana takutkan  mati  duduk  atas  masjid  semata  mata  dan  harapkan  hidangan  turun dari langit .Tidak  boleh  begitu.  Cuba  beri masa  untuk  semua  perkara.  Umur  macam  PakCik  sekarang,  hari  hari  biasa,  6  jam  tidur.  6  jam  bekerja.  6  jam  duduk  atas masjid.  6  jam bersama  anak  cucu  cicit.  Anak,  ada  Pak  Cik  ingat,  Nabi  SAW sebut,  "Peliharalah  lidahmu,  luaskan  rumahmu  dan  tangislah  dosamu". Cuba anak check siapa perawinya. (nota: Hadis riwayat at Tirmizi)

19. Anakku kita bukan orang sufi. Mereka lain. Kita orang biasa, "Apabila  kemiskinan  datang  bertandang  mengetuk  di  pintu,  kasih  sayang segera terbang  keluar  ikut  jendela.  Saat  itu sahabat  dekat  mula  menjauh, kesusahan  bagaikan  banjir  besar  menghanyutkan  segalanya  pergi  dan ianya hanya kembali apabila kita kaya semula "Rajinlah berusaha. Wang bukan segala galanya. Namun banyak perkara dalam dunia sekarang perlukan wang anakku. Wang bukan raja. Wang adalah hamba perkasa  yang  memudahkan  banyak  perkara.  ramai  orang  sedikit  sedikit  sebut Tuhan, pada hal hati mereka bersimpang simpang.

20. Cuba  sedaya  upaya  supaya  ada wuduk  pada  tubuh  kita.  Ianya  adalah  cara terbaik  cucikan  diri.  Cuba  mandi  setiap  kali  sebelum  masuk waktu.  Tidak  dapat kerana  banyak  masa  di  pejabat,  mandi  3  kali  sehari.  Sebelum  subuh,  sebelum maghrib  dan  sebelum  isya' .  InsyaAllah kita  rasa  bersih  dan  tenang  dari  segi luaran.  Sewaktu  berdiri  mahu  solat,  rasakan  ketakutan  luar  biasa.  Kita  sedang menghadap Allah Raja dan Tuan kepada segala Raja.

Coretan daripada Dato Roslan Ab Hamid

Cerpen: Permata Buat Suamiku


"Sudah lima tahun Man, lima tahun! Sudah lama benar kau kahwin dengan perempuan itu! Jangankan tiga, seorang cucu pun Mak tak dapat lagi!"

Datin Syuhada sudah tidak dapat bersabar lagi. Sikap acuh tidak acuh Azman benar-benar membuatkan dia naik darah. Ini bukan kali pertama Datin Syuhada naik angin. Sudah hampir seratus kali agaknya Azman mendengar bebelan yang sama setiap kali dia datang menemui ibunya itu.

"Dulu Mak dah cakap. Jangan kahwin dengan perempuan itu. Dia tu mandul! Tengok muka dia pun Mak dah tahu dia tu tak sihat. Tapi kau tak pernah nak dengar cakap Mak. Kau kahwin juga dengan dia. Sekarang kau terimalah padah akibat ingkar kata-kata Mak. Orang lain baru dua tahun kahwin pun dah ada dua orang anak, engkau ni dah lima tahun kahwin, seorang anak pun tak ada!"

Datin Syuhada terus-menerus melayan amarahnya. Betapa emosinya pada waktu itu dikuasai oleh syaitan laknatullah yang ligat menghembuskan hasutan dan kata-kata keji ke dalam hati wanita berusia separuh abad itu.

"Rezeki tu di tangan Allah Mak. Mungkin belum sampai waktunya lagi. Kalau Man sebagai suami boleh bersabar, mengapa Mak tak boleh? Susah sangat ke, Mak?", sedih Azman apabila terpaksa bertelagah dengan ibunya setiap kali mereka bersua muka.

Bukan senang untuknya mencuri masa bertemu dengan ibunya. Namun, setiap kali ada peluang bertemu, pasti isu zuriat yang akan dibangkitkan. Kadangkala Azman terfikir, andai saja ayahnya masih ada, pasti ibunya tidak akan bersikap sebegitu.

Pemergian Datuk Rosmi telah membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Terutama sekali terhadap ibunya. Ibunya kini bukan lagi seorang insan penyayang, bukan lagi seorang insan yang lembut dan sopan, juga bukan lagi seorang insan yang halus bicaranya.

Secara jujurnya, perubahan pada sikap Datin Syuhada benar-benar menyiksa batin Azman. Ayahnya pergi dengan membawa bersama sinar cahaya yang dahulunya menjadi penerang di kala siang, pelita di kala kelam.

Kewibawaan dan kehebatan Datuk Rosmi sebagai nakhoda kepada bahtera yang mereka layarkan ke lautan Ilahi benar-benar menjadikan beliau sanjungan isteri serta waris tunggalnya. Azman, satu-satunya permata yang mampu diberikan oleh Datin Syuhada dibentuk dan diasuh dengan penuh kasih sayang serta perhatian walaupun amat sibuk dengan pelbagai urusan di luar kota.

Datuk Rosmi dan Datin Syuhada sentiasa memastikan waris tunggal mereka mendapat segala yang diperlukan bagi mendepani dunia yang penuh fatamorgana yang mampu menyesatkan jiwa-jiwa yang kosong. Sejak kecil lagi, Azman dibentengi dengan ilmu serta pengetahuan dalam bidang agama. Tidak lupa juga pengetahuan duniawi yang membantunya berjaya di dunia ini.

Sungguh kiamat itu benar, dan atas kepercayaan itulah Datuk Rosmi tidak pernah leka dalam memastikan ahli keluarganya bersedia untuk menerima kedatangan hari itu nanti. Dia tidak mahu keluarganya tergolong dalam kalangan manusia-manusia yang kerugian.

Namun, sejak beliau pergi menyahut panggilan Ilahi, segala-galanya telah berubah. Rumah besar yang dahulunya terang menjadi gelap-gelita. Sunyi dan sepi tanpa cahaya Ilahi. Tidak ada lagi kehangatan serta kasih sayang di dalam rumah itu. Pernah suatu ketika dahulu Azman tersesat dari jalan yang dahulunya pernah dia lalui bersama arwah ayah tercinta. Imannya cukup rapuh ketika itu. Serapuh besi berkarat yang yang boleh hancur dengan hanya sekali jentik sahaja. Namun, cepat-cepat dia tersedar lalu membetulkan landasannya.

Alhamdulillah...Kehadiran Syakila ke dalam hidupnya memudahkan lagi usahanya kembali ke jalan Allah. Syakila, sekuntum bunga indah yang dia temui di rumah Allah terus di angkat menjadi zaujahnya sebaik sahaja dia mengenalinya melalui seorang Ustaz.

Syakila hidup sebatang kara. Hidupnya di bumi ini menumpang kasih Allah yang disalurkan melalui seorang insan mulia seperti Ustaz Hasan. Dengan keyakinan bahawa Azman akan membimbing Syakila ke jalan syurga, Ustaz Hasan dengan rela hatinya menyerahkan Syakila kepada Azman. Tidak ada sedikit pun keraguan di hatinya terhadap jejaka soleh seperti Azman. Doanya agar mereka berjaya di akhirat kelak.
***********

" Ila, Mak dah tak boleh sabar lagi! Mak dah ada calon untuk Azman. Dah lima tahun kau kahwin dengan Azman, tapi kau tak mampu nak berikan Mak walau seorang cucu pun. Mak dah tak tahan bermenantukan perempuan cacat macam kau. Sekarang kau pilih sendiri. Sama ada kau beri Mak cucu dalam masa tiga bulan ni, atau kau izinkan Azman kahwin lagi. Ingat, Ila! Azman tu satu-satunya anak Mak. Mak tak boleh terus berdiam diri andai keturunan Mak dibiarkan tak bersambung begini. Lagi satu! Kalau sampai Man tahu hal ni, kau tahulah nasib kau nanti!”

Panggilan tersebut hampir saja membuatkan Syakila rebah menyembah bumi. Berkecamuk hati wanitanya apabila kata-kata keras seperti itu dituturkan kepadanya. Hati wanita mana tidak sedih jika menerima panggilan seperti itu.

"Astarghfirullahal ‘azim..." Beristirghfar panjang Syakila sebaik saja menerima amaran keras tersebut. Sungguh tidak dia sangka, ibu mertua yang selama ini disanjungnya bagai ibu kandung sendiri sanggup menuturkan kata-kata tersebut terhadapnya. Syakila sedar siapa dirinya. Wanita yang serba kekurangn, wanita yang tidak sempurna.

Bukan dia tidak pernah berusaha. Sudah bermacam-macam ikhtiarnya dengan Azman. Namun, tidak satu pun usahanya menunjukkan hasil yang diinginkan. Syakila redha, mungkin Allah masih ingin mengujinya. Ujian ini adalah suatu tarbiah buatnya. Bibirnya tidak pernah putus berdoa kepada Allah. Doanya agar suatu hari nanti Allah akan mengurniakannya seorang permata yang bakal mendoakan dia dan suaminya di saat mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat tempat khusus di sisi Allah tidak pernah mengeluh walaupun dikurniakan dengan cahaya mata hanya ketika usianya sudah lanjut. Inikan pula dirinya. Dirinya yang hanya merupakan makhluk yang lemah lagi hina di sisi Allah. Syakila yakin bahawa ujian yang didatangkan kepadanya tidak sia-sia. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sama seperti pelangiindah yang muncul sesudah hujan di siang hari.
***********

Syakila menyambut kepulangan cinta hatinya dengan senyuman yang paling manis. Dia tidak mahu bermuram durja apabila sedang bersama suaminya. Syakila cuba memaniskan wajahnya semanis yang mungkin. Walaupun begitu, ada kesedihan di mata beningnya yang terkesan oleh Azman. Segera Azman mencari puncanya.

" Ila, kenapa ni? Kenapa isteri Abang sedih hari ni? Patutlah air panas yang Abang minum ni pun terasa sejuk je. Rupa-rupanya, ada orang tengah berduka ni....", lembut sekali bicara Azman terhadap ratunya itu. Diselitkan sedikit jenaka dalam kata-katanya tadi. Dia cuba memancing tawa Syakila.

Syakila menjadi sedikit gugup. Sungguh dia gagal menjadi aktres terbaik setiap kali berdepan dengan suami tercinta. Walaupun begitu, dia tidak semudah-mudahnya meluahkan segala rasa pahit yang sedari tadi dipendamnya jauh di lubuk hati yang paling dalam. Biarlah hempedu itu dia telan sendiri. Dengan suara yang manja, Syakila membalas gurauan suaminya.

"Abang tu la... Keluar tak ajak Ila pun. Lepas tu, tinggalkan Ila lama-lama kat sini. Sorang-sorang pula tu. Ila rindu tau..."

Azman ketawa besar. Sikap manja yang ditunjukkan oleh isterinya yang terkadang tegas itu benar-benar mencuit hatinya. Dia merangkul erat permaisurinya itu. Sungguh dia kasih akannya. Tidak pernah sekali pun dia menyesali pernikahannya dengan Syakila. Kehadiran sekuntum bunga indah ke dalam hidupnya sudah cukup untuk membuatkan Azman mengucap syukur kepada Allah di setiap hembusan nafasnya. Mereka bahagia walaupun setelah lima tahun, rumah itu masih belum dihiasi dengan tawa riang anak kecil.
*********

Lena Syakila malam itu ditemani air mata duka. Ditatapnya puas-puas wajah tenang yang sedang lena diulit mimpi di sebelahnya. Bila difikirkan semula, ada betulnya juga kata-kata ibu mertuanya tadi petang. Azman perlu meneruskan keturunannya. Syakila mula memikirkan kembali akan keputusan besar yang harus dia hadapi nanti.

Lama dia beristikharah malam itu. Pintanya agar dia diberi kekuatan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang sebaiknya. Kasihnya pada Azman terlalu tinggi. Andai seorang zuriat mampu menyerikan lagi hidup Azman, Syakila rela. Dia rela berkongsi kasih meskipun hatinya bakal terluka. Apa yang penting baginya adalah kebahagiaan Azman.

"Ya Allah... Berikanlah hamba-Mu ini kekuatan dalam mengharungi cabaran dari-Mu...", rintih hati kecil Syakila. Air matanya bercucuran mengenangkan suami yang mungkin akan dikongsikan bersama wanita lain nanti.

Andai saja dia bisa menjadi sekuat Sarah. Sarah, isteri milik Nabi Ibrahim a.s. Wanita mulia yang cukup kuat untuk berkongsi kasih sayang suami tercinta bersama seorang wanita lain bernama Hajar. Wanita mulia yang akhirnya dikurniakan Allah seorang zuriat atas kesabaran serta keteguhannya.
*********

Dua bulan berlalu. Pertemuan Azman dan ibunya tidak lagi diisi pertelingkahan apabila Azman membawa Syakila dengan sebutir permata yang sedang membesar di dalam rahimnya. Sejak hari itu, sikap Datin Syuhada terhadap Syakila berubah serta-merta. Rajin sekali dia menjaga Syakila. Sungguh dia kini kasih pada menantunya itu. Menantu yang dahulu dia caci maki dek kerana kekurangannya sebagai seorang wanita. Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Doa Syakila serta Azman yang bertahun-tahun lamanya termakbul jua.

"Ila, Abang redha Ila sebagai isteri Abang selama ini. Abang halalkan makan minum Ila. Abang ampunkan segala dosa-dosa Ila. Abang tunggu Ila kat sini. Abang tunggu Ila datang dengan permata kita. Abang sayangkan Ila.”

Azman mengucup lembut dahi isterinya yang bakal dibawa masuk ke wad bersalin sebentar sahaja lagi. Syakila tetap tersenyum manis walaupun kesakitan yang dia tanggung hanya Allah sahaja yang tahu.
Tempoh sembilan bulan menunggu kehadiran si permata cukup membahagiakan buat Azman. Kasihnya pada Syakila kian mekar sepanjang tempoh itu. Anak yang mereka gelarkan permata itu seringkali mereka perdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran setiap malam. Sungguh kasihnya mereka kepada zuriat mereka yang bakal lahir itu.
**********

Tiga jam berlalu begitu sahaja. Tangisan bayi perempuan yang memenuhi ruang tersebut cukup menggembirakan Azman. Namun, hatinya tidak keruan kerana tangisan itu tidak datang sendirian. Ada tangisan lain yang mengiringinya. Azman kenal suara itu. Cukup kenal.

Dia segera merempuh ke dalam wad tanpa menghiraukan para jururawat yang sedang bertugas. Dilihatnya Syakila sedang tidur. Dia tersenyum senang. Dihampirinya jasad lemah itu. Dikucupnya dahi Syakila dalam-dalam. Namun, saat dia memberikan kucupan tersebut, dia tidak dapat mengesan hembusan nafas Syakila. Ditatapnya wajah itu puas-puas. Jasad itu sudah kaku. Tidak bergerak lagi.

Azman tersungkur di hadapan jasad kaku tersebut. Sesungguhnya, Syakila telah syahid dalam pertarungan agung itu.
**********



Rumah Cantik Dalam Hutan...


















Ujian Allah



Kehidupan kita didunia ini penuh dengan ujian. Allah sengaja mengadakan ujian itu semata-mata. Kenapa?

Dialah yang menjadikan mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia maha kuasa (membalas amal kamu), lagi maha pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat) " (Surah al-Mulk Ayat : 2)

Segala yang ada didunia ini hanyalah ujian semata-mata. Tiada manusia yang akan terlepas dari melaluinya. Tidak kira apapun pangkatnya, selagi dia bernama manusia, maka dia akan merasai ujian dari Allah. Bermula dari Nabi Adam hinggalah kepada pemimpin-pemimpin, raja-raja, saudara mara kita dan juga termasuk diri kita sendiri. Sebagai seorang yang beriman kepada qada' dan qadar dari Allah, kita wajib percaya bahawa ujian itu datangnya dari Allah.

Ada orang menganggap bahawa apabila mereka ditimpa kesusahan maka itu adalah bala atau kemurkaan dari Allah. Dan apabila mereka mendapat kemewahan dan kesenangan maka pada mereka itulah rahmat yang dikurniakan. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Kemewahan itu juga adalah ujian dan bukan hanya ujian itu apabila kita mendapat kesusahan.

Saidina Abu Bakar pernah berkata bahawa, “Ketika orang-orang Islam menerima ujian kesusahan, kami semua dapat mengharunginya. Tetapi apabila datang ujian kemewahan, hampir-hampir kami tewas.” Kenyataan Saidina Abu Bakar ini sebenarnya menunjukkan bahawa ujian kemewahan adalah lebih dahsyat lagi jika dibandingkan dengan ujian kesusahan kerana apabila ditimpa susah, kita sentiasa akan mengingati Allah. Tetapi apabila kita diuji dengan kesenangan, maka kita teramat mudah untuk menjadi lupa diri, sombong, bakhil, takbur dan sebagainya.

Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: "Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya. Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar. Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ. Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: "Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi." Rasulullah lantas menjawab: "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan." Rasulullah kemudian bersabda lagi: "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah." Abu Said al-Khurdi pula berkata: Rasulullah ada bersabda: "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam.” "Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring." Abu Hurairah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda: 

"Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredaan pada hari kiamat."

Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat.
Ingatlah, sesungguhnya ketika dimarahi itu kita telah didatangi ketenangan yang kita sendiri tidak dapat lihat. Ukirlah sebuah senyuman ketika anda sedang dimarahi.

Ada pula di antara manusia cepat merasa kecewa, marah serta putus harap apabila kita ditimpa kesusahan. Itu bukanlah sifat seorang muslim kerana orang muslim tiada erti putus asa atau kecewa baginya. Mereka yang kecewa ini lekas hilang kesabaran terutamanya apabila kehilangan sesuatu yang paling bermakna dalam kehidupan mereka. Sehinggakan ada juga yang menjadi lebih teruk dengan sanggup untuk menyalahkan takdir Allah.

Kita sebagai umat Islam dilarang daripada berkeluh kesah diatas ujian yang menimpa kita. Dalam menghadapi ujian samada susah atau senang kita mestilah bersabar. Ya benar, bukan perkara yang senang bagi orang yang terkena ujian menterjemahkan perkataan SABAR itu dalam bentuk praktikal tetapi percayalah, itulah perkara yang paling mulia apabila ditimpa ujian. Dengan kesabaranlah Allah akan mengangkat darjat kemuliaan kita. Dengan sabar juga hati menjadi tenang kerana mengingatkan kita bahawa ini adalah ujian dari Allah.

Sebuah hadith daripada Abu Yahya Shuhaib bin Sinan.Nabi s.a.w bersabda "Sungguh unik urusan orang yang beriman itu. Semua urusannya baik baginya. Hal ini hanya dimiliki oleh orang yang beriman. Jika dia memperolehi kegembiraan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Jika dia dirimpa kesulitan, dia bersabar dan itu baik baginya. " Riwayat Muslim.

Hadis ini menunjukkan bahawa senang atau susah bagi seorang muslim, adalah kebaikan dan bernilai pahala di sisi Allah jika dia bersabar dan redho menerimanya. Seorang mukmin sejati akan sentiasa bersabar dan bersyukur kepada Allah samada diwaktu senang ataupun susah. Dan pastinyalah atas kesabaran itu,maka mereka akan merasai ketenangan hidup.

Lihatlah kesabaran para nabi-nabi apabila datangnya ujian dari Allah. Lihatlah ujian yang ditimpakan keatas Nabi Ayyub. Baginda menghadapi ujian kesakitan, kematian anak-anaknya dan juga kehilangan harta benda. Begitu juga Nabi Nuh dengan tohmahan kaumnya, Nabi Musa dengan kedegilan kaumnya dan banyak lagi. Dek kerana kesabaran yang tinggi yang dimiliki oleh merekalah maka Allah mengangkat darjat mereka.

Oleh itu haruslah kita menanamkam didalam pemikiran kita bahawa hidup ini tidak lain hanyalah ujian semata-mata. Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasa mengingati bahawa semua kejadian adalah datang dari Allah. Setiap kejadian Allah itu pula ada hikmahnya. Cepat atau lambat, pasti kita akan dapat melihat hikmah itu. Mungkin hikmah itu akan kita lihat didunia ini, atau mungkin juga hikmah itu hanya dapat diketahui diakhirat nanti.

Semoga Allah akan sentiasa meletakkan diri kita semua dalam golongan orang yang mendapat rahmat dariNya. InsyaAllah.