15 April 2013

Pesanan dan wasiat abah


Abah berwasiat supaya kubur abah dan mak jangan dijadikan mangsa “penebus rasa bersalah” anak-anak.

Maksudnya begini:
Semasa ibu dan bapa masih hidup, anak-anak mengabaikan tanggungjawab mereka atas pelbagai alasan (sila rujuk kitab-kitab muktabar tentang tanggungjawab anak terhadap ibubapa) – alasan sibuk dengan urusan dunia yang tak akan habis sampai bila-bila, sibuk dengan urusan anak, isteri/suami masing-masing, sibuk dengan itu dan ini, hingga lah “tiba-tiba” salah seorang atau kedua-dua ibubapa mereka diperintah Allah untuk kembali kepadaNya… ..

Sebenarnya tak ade kematian yang mengejut atau tiba-tiba – setiap kematian itu telah dirancang Allah lama sebelum manusia itu dijadikanNya. “Tiba-tiba” itu hanya “tuduhan” manusia kerana bukankah kita rasa seronok hidup! Malahan pujangga dengan angkuhnya mendeklamasikan “aku mahu hidup 1,000 tahun lagi!

Dalam kesedihan kerana kematian mereka, timbul lah rasa bersalah si anak kerana telah mengabaikan mereka semasa hayat, maka dilakukanlah perkara-perkara seperti berikut:

1. Upah orang bacakan Al Quran 40 hari, 40 malam (anak tidak pulak membacanya kerana maklum lah sibuk belaka….)

2. Upah orang bina kubur yang tercantik dan terhebat (“mak/abah memang patut diberi penghargaan ini kerana jasa mereka kepada aku”…)

3. Tabur berbagai-bagai bunga atas kubur (“aku sayangkan mak/abah”walhal semasa hidup mereka, sekuntum bunga pun tidak pernah dihadiahkan!)

4. Cetak kitab Yaasin (siap tulis kat kulit depan “sempena kematian ibu/bapaku tersayang… .”) dan edarkan kepada masjid – macamlah surau dan masjid tak cukup-cukup kitab surah Yaasin

5. Buat kenduri panggil “orang masjid” bacakan doa tahlil (maklum lah, anak tak sempat mendoakan ibubapanya, lagi pun “doa orang masjid ni lebih berkat”….)

6. Buat pelbagai kenduri “hari peringatan ke-3, ke-7, tahun ke-47…..” kematian ibubapa

7. Sedekah pisang (kenapa pisang?) kat masjid……

8. Buat upah umrah setiap tahun (walhal dulu semasa hayat mereka, langsung “takde bajet nak hantar mak/abah gi umrah”; lagi pun keperluan umrah itu hanya sekali sepanjang hayat sahaja!) Selepas itu boleh lah si anak tidur lena dan sempat pula membidas adik beradik lain dengan berkata, “aku dah tunaikan tanggungjawab aku pada bapak/mak. Kau tak buat ke?” 

Abah panggil semua ini sebagai “sindrom penebus rasa bersalah”- kerana ” dulu aku tak buat semua itu, maka sekarang aku dah buat semua ini, jadi aku tak bersalah lagi!”….. Kalau inilah yang bakal terjadi kepada abah dan mak, maka abah berwasiat di sini ;

TAK PAYAH LAH anak-anak abah bersusah payah membuat pelbagai justifikasi dengan sindrom penebus rasa bersalah…. . memadai lah diselitkan satu ayat (DOA) yang tak sampai satu nafas nak menyebutnya – “Ya Allah, ampunkan dan kasihanilah ibu bapa ku sepertimana dia mengasihi ku semasa aku kecil“. Tak perlu belanja wang ringgit, tak payah cari orang, tak payah susahkan diri. Sempurnakan solat (wajib untuk penebus diri sendiri masing-masing) dan doa lah meminta apa-apa dari Allah (untuk mendapat penebus diri sendiri masing-masing) dan selitkan lah ayat di atas(sebagai penebus diri sendiri dan untuk keselamatan ibubapa di alam barzah dan alam akhirat).

Abah doakan apa-apa amal jariah yang abah dan mak lakukan dan apa-apa ilmu bermanfaat yang abah dan mak ajarkan kepada sesiapa pun dan diamalkannya - agar semua ini diterima Allah sebagi pelaburan kami di akhirat.

Semoga semua anak-anak yang lahir dari sulbi kami menyempurnakan janji-janji mereka kepada Allah untuk menjadi hamba -hambaNya yang beramal soleh.  Itu lah 3 harta yang akan mengiringi kami ke kubur dan tinggal kekal menemani kami sehingga kiamat…… ..

Baca, fahamkan, ingat dan ambil iktibar dari hadith-hadith Rasulullah seperti dibawah ini;

Larangan dari Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam: Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, 
“Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa
sallam telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya..” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Dan membawa bunga-bungaan atau jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama  jenazah adalah diharamkan yang telah menular di kalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kuno dalam upacara-upacara jenazah mereka. Juga kerana perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga.

Manakala hukumnya adalah haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat dimurkai Allah subhanahuwata’ ala.

Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu berkata kepada Abi Hayyaj Al-Asadi, “Tidakkah kamu mahu aku utuskan kamu untuk melakukan perkara yang aku diutuskan oleh Rasulullah untuk melakukan? Kamu hendaklah meruntuhkan semua berhala dan meratakan semua kubur yang ditinggikan orang.”  (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Wallahu’alam.
Artikel dihantar oleh : Mohd Zairizal

Meleleh air mataku apabila baca cerita ini…





Bacalah kisah di bawah ini dengan penuh penghayatan…

Kalau nak kira, mak aku la harta yang paling mahal, paling berharga. Tak de nilai yang boleh disamakan dengannya. Aku cukup rapat dengan mak aku. Dia lah yang tahu dan ambil tahu kehendak anak -anaknya. Cukup memahami. Abah aku orangnya agak garang masa kami kecik-kecik dulu. Pernah kami kena 'pelangkung’ dengan dia sebab lambat mandi pagi nak pergi sekolah. Sejak hari tu aku dah ‘kurang’ sikit dengan abah. Apa-apa masalah aku mengadu dengan mak. Mak laa tempat aku bercerita suka duka, mintak tolong buat keja sekolah, mintak duit belanja. Kena buli dengan kawan, semuanya mengadu dengan mak. Dengan abah, jangan kata nak mintak, nak bersembang pun tak berani.

Abah pagi-pagi lepas hantar kitorang pergi sekolah dia pergi ladang, tengah hari atau petang baru balik. Abah akan rehat terkadang tidur di pangkin bawah pokok rambutan tepi rumah. Macam tu la abah hari-hari, kami jarang dapat dengar suara dia, tapi kalau dia dah bukak mulut memang kena. Masa tu terkadang aku rasa mengapa la aku ada abah, kalau ada mak je kan bagus. Tapi mungkin jugak abah jadi gitu sebab keadaan hidup kami, kami dulu orang susah. Abah hanya peneroka felda, kerja teruk tapi pendapatan tak seberapa. Untuk tampung perbelanjaan keluarga dan belanja sekolah kami, mak buat nasik lemak dan kuih tepung bungkus.

Pukul 5 pagi mak dah bangun bungkus nasi. Pagi-pagi lepas hantar kitorang pergi sekolah, abah singgah letak nasik lemak dengan tepung bungkus kat kedai makan tepi sekolah. Masa tu nasik lemak sebungkus abah jual 30 sen, kuih tepung bungkus 15 sen. Kadang-kadang tu aku bawak jugak 2,3 bungkus nasik lemak jual kat kawan sekelas dapat duit belanja lebih hari tu. Aku dapat duk dengan mak sampai tingkatan 3, pastu aku masuk asrama vokasional Temerloh. Tapi tiap tiap minggu balik kampung, sebab nak makan masakan mak. Keras tekak aku asyik makan nasik kawah, ikan jeket dengan sawi balak jer kat asrama. Petang jumaat balik kampung sampai rumah, terus cari nasik.

Mak, setiap Jumaat dia dah tau, dia akan goreng ikan pelaling (ikan temenung), sayur togeh, ulam togeh dengan kacang botol, sambal belacan lada besar. Tu je favourite aku, ada set tu. Mamang makan tak ingat punya. Kadang-kadang tu mak masak kari ayam cair. Kalau kena yang tu, sehari 3,4 kali ulang makan nasik. Duduk asrama 2 tahun, lepas SPM aku kerja sementara di Tekam Resort. Nama je resort sebenarnya. Aku kerja dalam ladang jugak, kerja banci pokok. Gaji masa tu RM400. Tu la pendapatan pertama hasil titik peluh aku sendiri. Hari ambik gaji tu seronok bukan main. Macam macam dah plan nak beli barang. Benda yang paling aku teringin masa tu, pancing bermesin (bukan manual). Dapat jer duit, terus pergi pekan beli. Aku ingat lagi, harga pancing tu RM75 satu set.

Balik rumah, petang tu duit lebih bagi kat mak, sebab aku dah janji nak bagi duit pertama aku kat mak. Bayar balik duit minyak motor yang aku mintak kat dia setiap hari untuk pergi kerja. Menitik air mata mak bila dia pegang duit aku bagi tu.

Aku ingat lagi masa tu dia kata “ni bukan duit minyak moto, ni duit kerja anak mak, Alhamdullillah dapat dah mak merasa duit anak-anak”.  Aku kerja tak lama, aku dapat surat tawaran pergi UiTM (masa tu masih ITM) Shah Alam, jurusan elektrik untuk panggilan pertama. Masa tu, aku baru balik kerja, siap mandi, pastu makan. Mak masak sedap tengah hari tu. Tengah makan, mak cakap “haa…. makan puas-puas, nanti lambat pulak dapat makan macam ni lagi”. Aik…aku tanya mengapa pulak. Mak kata ada surat kat depan. Dan-dan tu aku pergi ambik baca. Melompat aku masa tu. Aku tunjuk kat mak.

Dia kata dia dah baca tadi. Berair mata mak masa tu, kata dia… “lepas dah anak mak 2 orang. Tinggal 2 lagi tu, tak tau macam mana.”  Perbelanjaan aku masuk ITM masa tu, abang sulung aku yang tanggung. Masa tu dia di Jepun study dan buat kerja part time jadi DJ. Masa aku tingkatan 4, mak bersalin adik perempuan. Kelahiran paling gembira bagi keluarga kami. Sebab sebelum ni kami 4 beradik semuanya lelaki. Abah la orang paling gembira. Dah lama dia nak anak perempuan. Adik perempuan ni jugak telah buat perubahan pada diri abah. Abah dah tak macam dulu. Sesekali aku balik, aku tengok abah yang mengasuh adik, lebih dari mak. Syukur pada Allah, harap adik tak merasa seperti apa yang kami rasa dulu.

Namun, setahun selepas adik lahir, mak jatuh sakit. Tapi tak de la teruk sangat, cuma setakat pergi klinik jer. Lepas sebulan lebih, sakit mak tak sembuh-sembuh. Abah bawak mak pergi ke Hospital pakar kat hospital Mentakab. Diorang ambik sample darah. Lepas seminggu, diorang panggil pergi hospital semula, dah dapat keputusan. Ya Allah, ujian telah menimpa kami semua. Mak disahkan kena barah payu dara. Doktor kata, untuk selamat, mak kena operate selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan. Bermula dari hari tu, kami sekeluarga tak senang duduk terutama abah.  Merata dia cari tempat untuk berubat, sebab kalau boleh kami tak nak mak di operate. Mak setiap hari menangis, bukan sebab sakit, tapi sebab dia risaukan adik perempuan yang masih kecik. Apa nasib adik bila dia dah takde nanti. Aku cukup tak tahan bila setiap kali mak tinggal pesan. “Mie… nak bancuh susu adik bubuh susu 2 sudu jer. Mie…. kain batik mak ada 3 helai yang baru dalam almari, nanti orang datang, bukak ambik”. Air mata memang tak boleh tahan. 

Sampai masa, mak terpaksa operate jugak. Doktor kata kuman kanser tu dah merebak ke paru-paru. Masa tu aku ambik cuti seminggu, tangguh dulu pelajaran aku. Aku balik kampung, kena jaga adik. Lepas operate, mak dah mula jadi lemah. Kesian sangat aku tengok, doktor nak buat kemo, tapi tak boleh sebab badan mak terlampau lemah.  Lepas 2 minggu mak kat hospital. Dia dah beransur baik. Abah bawak balik. Mak sihat kat umah, tapi tak sepenuhnya, makan masih berpantang. Mak boleh berjalan, boleh buat kerja rumah macam biasa. Tapi tak lama, dalam sebulan lebih lepas tu, mak pengsan tiba-tiba. Abah bawak pergi hospital Jengka.  

Bermula hari tu…keadaan mak makin hari, makin teruk. Seminggu mak ditahan di hospital.  Kemudian, doktor bagi balik, keadaan mak dah elok sikit, tapi mak dah tak boleh berjalan masa tu. Kena guna kerusi roda. 2 hari je mak sempat duduk kat rumah, pastu abah terpaksa bawak mak pergi hospital semula, sebab keadaan mak dah terlalu lemah, mata tak boleh bukak, dah tak boleh bercakap, mak tak makan sejak balik ke rumah. Masuk jer makanan, mak akan terus muntah.  Doktor kata, penyakit mak dah teruk. Kuman dah merebak ke paru-paru dan hati. Sebab tu mak tak boleh makan.

Selama di hospital, mak hidup dengan air dan ubat saja. Sayunya hati aku tengok muka mak dah cengkung, nafas tercungap-cungap. Tapi masa tu mak masih boleh bercakap. Satu yang aku amat kagum dengan mak, walaupun dia menderita sakit. Dia tak pernah dia sebut yang dia sakit. Kami berbual macam biasa. Macam takde apa-apa, boleh buat lawak dan gelak-gelak lagi. Walhal aku tahu yang dia menanggung sakit yang teramat sangat. Doktor ada terangkan pada kami adik beradik, macam mana nak jaga orang sakit kanser. Doktor kata penyakit ni panas, lebih panas dari suhu bila kita demam, kemudian semua sendi satu badan akan sakit, perut rasa lapar tapi tak boleh makan. Penglihatan akan kabur. Di sebabkan paru-paru mak dah rosak, bila dia bernafas dia akan rasa sakit. Seksanya aku tengok mak. Tapi dia tak tunjuk kesakitan dia pada anak-anak. Cuma bila dia tengok adik, dia akan menangis. Aku pun sama akan ikut menangis bila tengok mak peluk adik. Semakin hari, keadaan mak semakin teruk. Aku ambik keputusan untuk cuti satu semester. Abang aku yang di Jepun pun balik.

Hati mak dah mula membengkak. Perut dia buncit macam di pam-pam. Berkilat dan boleh nampak urat. Mata mak dah tak terang, bila dia tengok satu-satu benda, dia akan nampak seperti ada benda macam semut tengah merayap. Dan masa tu juga, pemikiran mak dah menjadi tak berapa normal. Dia dah tak kenal dah orang yg pergi melawat dia, kecuali hanya anak-anak dia. Ada satu masa, aku tengah urut tangan dia, dia sapu kepala aku macam ada benda atas kepala aku, aku tanya kenapa. Mak kata ada habuk penuh atas kepala aku, jadi dia nak sapu buang. Masa tu jugak merambu keluar air mata aku. Walaupun dia menderita sakit, dia masih semangat menjaga kebajikan dan kebersihan anak dia. Dah hampir 3 bulan mak di hospital Jengka, dan selama tu la kami sekeluarga berumah di sana. Semua nurse dan doktor kami kenal.

Selama tu jugalah kami adik beradik jaga mak, urut dia, bagi makan ubat, mandikan dia, tukarkan baju dan segalanya. Walaupun kami lelaki, jururawat kat situ dah tak kesah. Pada mulanya mereka memang tak bagi orang lelaki masuk wad wanita lepas waktu melawat. Tapi kami jumpa doktor dan ketua nurse, mintak kebenaran sebab kami takde adik-beradik perempuan (kecuali adik). Lagipun mak perlukan orang tunggu 24 jam, sebab bila mak kejang kena ada orang urut dia dan ni lah saja peluang yang kami ada nak balas jasa mak sementara hayatnya masih ada.

Akhirnya, kami bawak mak balik ke rumah. Sebab mak kata dia tak nak mati di hospital, dia nak mati di rumah sendiri, nak tengok anak-anak dia dan suami dia. Kami mintak dengan doktor dan doktor benarkan. Doktor kata, memang mak dah takde harapan. Bila mak sampai rumah, suatu keajaban berlaku. Mak mintak makan, kemudian ingatan dia normal semula. Cuma mata dia jer masih kelabu. Dia makan, kami bagi semua makanan yang dia suka. Apa yang dia sebut, kami cari. Kami ambik semua baju baru mak, kami pakaikan pada dia. Mak sembang dengan semua orang, mintak maaf dengan semua. Mak terpaksa baring mengiring, sebab perut dia semakin membesar.  Lebih kurang seminggu mak kat rumah. Mak nazak. Hari tu pagi sabtu. Nafas mak tersekat-sekat. Masa tu mak dah dak boleh bercakap, suara dia keluar amat perlahan. Kita kena letak telinga kat mulut dia baru boleh dengar. Tengah hari tu, kami dah tak sampai hati lagi tengok mak dalam keadaan tu. Seksa sangat, umpama ikan dilempar ke darat. Kami sekeluarga berbincang. Tanya pendapat orang tua, dan melihat kepada tanda-tandanya, hari ni mungkin sampailah masa tamatnya penderitaan mak setelah sekian lama. Kami dah tak sanggup tengok mak terseksa lebih lama. Kami adik-beradik dan abah pergi pada mak. Kami mintak ampun, mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, mintak halal makan minum kami, mintak halal air susu yang kami minum.

“Mak… emie mintak ampun, mintak maaf segala dosa emie pada mak, dari hujung rambut sampai hujung kaki. Emie mintak halal makan minum emie selama ni, emie mintak halal air susu yang emie minum.” Banyak lagi aku nak sebut pada mak, tapi tak terkeluar dari mulut. Ya Allah kenapalah jadi macam ni. Kami kucup dahi mak, kami cium kaki mak. Air mata mak mengalir. Kami letak adik tepi mak. Bagi mak cium adik. Sayunya aku tengok. Air mata mak mengalir setiap kali bila tengok adik. Kesian adik, lepas ni dia dah tak dapat jumpa mak. Tak dapat merasa kasih sayang mak lagi. Mak bisikkan sesuatu pada abah. Air mata abah mengalir. Nilah seumur hidup aku nampak abah menangis. Abah kucup dahi mak. Kemudian, dengan amat terpaksa kami terlentangkan mak. Aku terpaksa, kami terpaksa. Kami sayangkan mak. Tak nak mak terseksa lagi. Tak lama, mak sesak nafas, abah ajar mak mengucap. Allahhuakbar, aku saksikan sendiri, betapa seksanya menuju kematian…betapa teruknya sakaratul maut. Inilah yang dinamakan ‘mabuk kematian’. Amat dahsyat dan menyakitkan… Tengok saja pun dah tak tahan. Apatah lagi yang merasainya. 

Akhirnya….
“Innalillahiwainna ilaihiroo-jiun….. ” Ibu tercinta pergi buat selamanya……… Maaf, setakat ini sahaja sanggup saya tulis kisah ini….. linangan air mata dan Al-Fatihah sebagai noktahnya.

INGAT!!! IBU KANDUNG HANYA SEORANG SAHAJA DI DUNIA INI. JIKA DAH TIADA, MAKA TIADALAH GANTINYA. SYURGA ITU DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU. KEPADA MEREKA YANG MASIH MEMPUNYAI PELUANG, AMBILLAH PELUANG INI, CIUM TANGAN IBU ANDA, MINTAK AMPUN PADANYA. GEMBIRAKAN DIA. 

Aku Ada Pasangan


Aku ada pasangan hidup sendiri.....
Bila seronok, aku cari pasanganku
Bila sedih, aku cari....MAK
Bila berjaya, aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....MAK
Bila bahagia, aku peluk  erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat.......MAK
Bila nak bercuti, aku bawa pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....MAK
Bila sambut valentine aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu"
Selalu... aku ingat pasanganku
Selalu... MAK ingat kat aku
Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon MAK
Selalu....aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk EMAK

RENUNGKAN:
"Kalau anda sudah habis belajar dan bekerja...bolehkah anda mengirim wang untuk Mak? Mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".

Berderai air mata jika kita mendengarnya. .......
Tapi kalau Mak sudah tiada....... ...

MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
Berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
Berapa ramai yang sanggup  menggantikan lampin ibunya.....
Berapa ramai yang sanggup..... membersihkan najis ibunya..... .
Berapa ramai yang sanggup..... .... membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
Berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

Dan akhir sekali berapa ramai yang boleh menjadi IMAM untuk sembahyang JENAZAH IBUNYA......

"Jika kamu menyayangi ibumu, "forward" kanlah message ini kepada sahabat- sahabat anda.

1 orang   : Kamu tidak sayangkan ibumu
2-4 orang : Kamu sayang ibumu
5-9 orang : Bagus! Sayang jugak kamu kepada Ibumu
10/lebih  : Syabas! Kamu akan disayangi Ibumu


Kenapa anda perlu memaafkan orang yang sakitkan hati anda...


Kenapa anda perlu memaafkan orang lain?
- Supaya anda senang untuk merasa bahagia, gembira dan tenang di jiwa.

Kenapa ada ramai orang susah hendak merasa gembira?
Ini adalah kerana di hati mereka ada titik-titik hitam.  Titik-titik hitam ini yang mengotori jiwa. Apabila jiwa sudah kotor, ia akan dipenuhi dengan perasaan-perasaan kotor dan emosi-emosi kotor (emosi negatif) dan akan mengakibatkan timbul perasaan marah, benci, dendam atau dengki. Kesemuanya itu akan bersarang dan melekat di situ. Oleh itu, anda akan mudah naik marah, mudah merasa benci, cepat berdendam dan cepat dengki dengan orang lain.

Sekali anda tidak memaafkan, sepuluh kali titik-titik hitam tumbuh membiak di dalam hati anda.

Jika anda hendak gembira, hendak ceria tapi susah untuk merasa gembira, susah untuk merasa ceria, semua berpunca dari hati anda.

Anda tidak memaafkan kesalahan orang yang buat salah kepada anda.

Anda tidak memaafkan orang yang marahkan anda.

Anda tidak memaafkan orang yang mengejek, menghina, mengkeji dan mengata anda.

Anda tidak memaafkan sikap dan perbuatan mereka.

Justeru, kesannya titik-titik hitam di hati anda akan makin membesar, makin banyak.

Hati anda menjadi semakin hitam dan semakin gelap.

Hati orang yang pemaaf di sinari cahaya.
Mereka mudah merasa gembira, ceria dan mudah merasa bahagia kerana tidak ada titik-titik hitam melekat bertempek di dalam hati mereka ni.

Apabila sudah gembira, ceria dan bahagia, mudah untuk rasa bermotivasi dan bersemangat.

Bila sudah ada motivasi anda akan ada energi. Dari sinilah, anda merasa sentiasa bertenaga.

Anda akan merasa terdorong dan menjadi kuat bekerja. Maafkan kesalahan orang yang pernah membuat anda merasa sakit hati.

Maafkan orang yang anda tidak puas hati dengan perangainya.

Maafkan orang yang pernah menghina, merendah-rendahkan dan mempersendakan anda.

Sikap sebegini akan menjadikan anda maju ke depan.

Lawan api dengan api, maka anda akan musnah. Kedua-duanya akan musnah. Bila lawan api dengan air, anda akan dapat musnahkan api, lalu meninggalkannya untuk mengecapi hidup yang lebih baik.

Sumber dari - http://www.imotivasi.net/category/motivasi-kejayaanhttp://motivasi/

Sahabat, Kehadiran Menyenangkan, Kehilangan Dirasai


‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.’

‘Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.’ (H.R al-Hakim)

SAHABAT
Baru-baru ini saya kehilangan seorang teman. Kehilangan buat selamanya. Kehilangannya sangat dirasai kerana dia antara kawan saya yang selalu mengingatkan saya pada Allah, pada perintah Allah, banyak mengajar tentang  kebaikan, banyak memberi nasihat dan sebagainya. Selepas beliau kembali ke rahmatullah, ramai sahabat  bercerita mengenai perkara yang sama. Arwah seorang yang baik, selalu mengingatkan mereka pada perintah Allah, seorang yang sabar orangnya, lemah lembut, menghormati keluarga dan ia juga diakui oleh keluarganya sendiri.

Subhanallah! Untungnya memiliki seorang kawan sepertinya.. Kehadirannya menyenangkan hati, kehilangannya terasa di hati.. kebaikan dan nasihat olehnya terpahat di hati..

Ya Allah, kadangkala saya terfikir, adakah kita sepertinya? Kehadiran menyenangkan, kehilangan dirasai. adakah satu hari nanti apabila kita pergi, kita akan dikenang sebegitu rupa? Adakah kawan di luar sana  akan mendoakan kita? Adakah sahabat kita akan terasa kehilangan kita?

Justeru, sebagai seorang sahabat, apa salahnya kita berusaha untuk menyenangkan hati sahabat kita yang lain sementara kita masih berpijak di bumi Allah ni, selagi hayat dikandung badan. Apa salahnya kita mencuba untuk membahagiakan sahabat kita?

Wahai sahabat sekalian, antara ciri-ciri sahabat yang baik adalah:

Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.
Jika engkau memerlukan pertolongan darinya, dia akan membantu kamu.
Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya,  dia akan menerimanya dengan baik.
Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan daripada kamu..dia akan menghargai kebaikan kamu.
Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
Jika engkau berdiam diri, dia akan menanyakan kesusahan kamu.
Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
Jika engkau berkata padanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga persahabatan.
Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat.
Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Sememangnya, masih belum terlambat untuk kita semua berubah sedikit demi sedikit untuk menjadi teman yang baik.  Belum ada istilah ‘lambat’ selagi hayat dikandung badan. Jadilah seorang teman yang baik, yang membahagiakan teman kita, yang tidak menyakitkan hati sahabat kita, dan memberi kebaikan, teguran dan nasihat kepada sahabat kita.

Janganlah kita menjadi teman yang sombong yang tidak mahu menerima teguran teman yang lain, ingatlah, kawan tegur ke arah kebaikan, tanda dia sayang, andai dia  berusaha bersungguh-sungguh mahu ke syurga, dia sentiasa mengajak sahabatnya yang lain untuk ke syurga bersama-samanya.

Cinta seorang kawan ketika dia mengajak sahabatnya berbuat baik kepada Allah. Sayangnya seorang kawan ketika dia menyedarkan kita apabila kita terpesong dari landasan Allah. Kasihnya seorang teman ketika dia tidak pernah lupa berdoa untuk sahabat-sahabatnya.

Oleh itu, ayuhlah teman-temanku, bahagiakan sahabatmu sementara mereka masih ada! Bawalah mereka ke syurga bersamamu, tiada jodoh untuk bertemu di dunia lagi, berdoalah agar bertemu di syurga kelak! insyaAllah, Allah melihat setiap usahamu walaupun sebesar zarah!

Berdoalah untuk sahabatmu yang telah pergi menghadap ilahi, semoga Allah ampunkan dosa-dosa dia, semoga Allah lapangkan kuburnya, berikan cahaya di dalam kuburnya, semoga dia ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Sesungguhnya doa seorang sahabat tidak ternilai harganya sama seperti nilai persahabatan. Mahal =)

Pinggan Untuk Ayah

Seorang lelaki tua yang baru kematian isteri tinggal bersama anaknya, Arwan dan menantu perempuannya, Rina, serta anak pasangan itu, Viva yang baru berusia enam tahun. Keadaan lelaki tua itu agak uzur, jari-jemarinya sentiasa menggeletar dan pandangan pula semakin hari semakin kabur. 

Malam pertama berpindah ke rumah anaknya, mereka makan malam bersama. Lelaki tua merasa kurang selesa menikmati hidangan di meja makan. Dia merasa amat canggung menggunakan sudu dan garpu. Selama ini dia gemar bersila, tapi di rumah anaknya dia tiada pilihan. Cukup sukar dirasakannya, sehingga makanan bersepah tanpa dapat dikawal. Bukan dia tidak merasa malu berkeadaan begitu di depan anak menantu, tetapi dia gagal menahannya. Lantaran kerap benar dijeling menantu, seleranya patah. Dan tatkala dia mencapai gelas minuman, pegangannya terlucut.  

Prannnnngggggg ... !! Bertaburan kaca di lantai. Lelaki tua serba salah. Dia bangun,cuba mengutip serpihan gelas itu, tapi Arwan melarangnya. Rina masam mencuka. Viva pula kesian melihat datuknya, tapi dia hanya melihat, kemudian makan semula. 

"Esok ayah tak boleh makan bersama kita," Viva mendengar ibunya berkata pada ayah, sebaik datuk menghilangkan diri ke dalam bilik. 

Arwan hanya membisu. Namun sempat anak kecil itu merenung tajam ke dalam mata Arwan. Sebagai memenuhi tuntutan Rina, Arwan membeli sebuah meja kecil yang rendah, lalu diletakkan di suatu sudut bilik makan. Di situlah ayahnya menikmati hidangan bersendirian, sambil anak menantu makan di meja berhampiran. Viva pula dihalang apabila dia merengek mahu makan bersama datuknya. 

Air mata lelaki tua meleleh mengenang nasibnya diperlakukan begitu. Ketika itu dia teringat kampung halaman yang ditinggalkan. Dia terkenang arwah isterinya. Lalu perlahan-lahan dia berbisik, "Miah... buruk benar layanan anak kita pada abang." 

Sejak itu, lelaki tua merasa tidak selesa tinggal di situ. Hari-hari dia diherdik kerana menumpahkan sisa makanan. Dia diperlakukan seperti hamba. Pernah dia terfikir untuk lari dari situ, tetapi mengenangkan cucunya, dia menahan diri. Dia tidak mahu melukakan hati cucunya. Biarlah dia menahan diri dikelar dan dicalar anak menantu. Suatu malam, Viva terperanjat melihat datuknya makan menggunakan pinggan kayu, begitu juga gelas minuman yang diperbuat daripada buluh. Dia cuba mengingat-ingat, di manakah dia pernah melihat pinggan seperti itu. 

"Oh! Ya..." bisiknya. Viva teringat, semasa berkunjung ke rumah sahabat papanya dia melihat tuan rumah itu memberi makan kucing-kucing mereka menggunakan pinggan yang sama. 

"Taklah pecah lagi, kalau tak, nanti habis pinggan mangkuk mama," kata Rina apabila anaknya bertanya.

Masa terus berlalu. Walaupun makanan berselerak setiap kali waktu makan, tiada lagi pinggan atau gelas yang pecah. Apabila Viva merenung datuknya yang sedang menyuap makanan, kedua-duanya hanya berbalas senyum. Seminggu kemudian, sewaktu pulang dari bekerja, Arwan dan Rina terperanjat melihat anak mereka sedang bermain dengan kepingan-kepingan kayu. Viva seperti sedang membuat sesuatu. Ada penukul, gergaji dan pisau di sisinya. 

"Eh, apa sayang buat ni? Berbahaya main benda-benda ni," kata Arwan menegur manja anaknya. Dia sedikit hairan bagaimana anaknya dapat mengeluarkan peralatan itu, sedang ia disimpan di dalam stor. 

"Nak buat pinggan, mangkuk dan gelas untuk ayah dan emak. Bila Viva besar nanti, taklah susah cari. Kesian ayah, terpaksa ke bandar beli pinggan atuk," kata Viva. 

Gamam mendengar jawapan anaknya, Arwan terkedu. Perasaan Rina terusik. Kelopak mata kedua-duanya bergenang. Jawapan Viva menusuk, seluruh tangkai jantung dirasa seperti dihiris sembilu. Mereka benar-benar rasa bersalah! Malam itu Arwan memimpin tangan ayahnya ke meja makan. Rina menyenduk nasi dan menuang minuman ke dalam gelas. Nasi yang tumpah tidak dihiraukan. Viva beberapa kali memandang ibunya, kemudian ayah dan akhir sekali wajah datuknya. Dia tidak bertanya, cuma tersenyum selalu bagi menyatakan rasa seronok duduk bersebelahan datuknya di meja makan. Lelaki tua itu juga tidak tahu kenapa anak menantunya tiba-tiba berubah. 

"Esok Viva buang pinggan kayu tu, nak buat apa?" kata Viva pada ayahnya selepas makan. Arwan hanya mengangguk, tetapi dadanya terus sebak. 

Moral: Hargailah kasih sayang kedua orang tua kita. Ibu bapa kita hanya satu, perginya tidak akan ada pengganti. Jadi, berbaktilah kepada mereka selagi hayat dikandung badan!


Cerpen : Kasih Seorang Anak, Kekecewaan Seorang Insan

Berikut ini saya kongsikan sebuah cerpen. Bacalah, semoga kita mendapat sedikit sebanyak manfaat daripadanya.
___________________________________________________

Kedengaran panggilan haji berkumandang didalam tv juga radio, ramai orang kampung ku yang mendaftar dengan Tabung Haji dapat menunaikan haji tahun ini, sayu kedengaran sedih pun ku rasa gembira pun ku rasa apabila dapat menumpang kegembiraan jiran-jiran yang akan ke tanah suci.

Ia bermula apabila…………Pak Su ke Tabung Haji. Lapang benar dada Pak su bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini. “Tapi pak cik kena bayar segera bahagian makcik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi.


“Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Su. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah. “Jah… oo..Jah!” teriak Pak Su sebaik turun dari keretanya. “Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Jah. ”Ada berita baik ni Jah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana.Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,” cerita Pak Su dengan wajah berseri-seri.

“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.” “Betullah Jah oii… saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.” “Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Jah merenung gusar wajah suaminya.

“Alah Jah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.” Wajah Pak Su semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya. “Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding,” cadang Pak Su. “Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Jah tidak bersetuju dengan rancangan Pak su.

“Jah… Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Jah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Su, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya. “Tapi bang?… “ “Dahlah… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,” pintas Pak Su sebelum Mak Jah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Su bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Su menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya. “Insya -Allah, Kis balik nanti abah. Emm… abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis. “Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya?… ,” balas Pak Su. Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah. Masih Pak Su ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Su tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang. “Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” bantah Intan menaikkan darah Pak Su. “Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?” “Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya, hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah.” Intan cuba membuat abahnya faham. “Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!”

“Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya. “Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi… aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?, telangkup ke?, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!!” Sejak kejadian itu, Pak Su memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya.

Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Su bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu. “Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit,” Pak Su memulakan bicara. “Hajat apa pula abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya. “Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Su mengutarakan hasratnya. 

“Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz. “Tapi… pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.” “Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.

“Kau beli rumah lagi?., Rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Su melindungi kekecewaannya. “Rumah baru tu besar sikit, abah. Selesalah buat kami sebab budak- budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz. Pak Su terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki durian berbuah kat dusun kita tu nanti,” Pak Su berpaling Pada Balkis.

“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Su mendengar jawapan Balkis. “Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.” “Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Su. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Su terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi,” Mak Jah bersuara cuba meredakan keadaan. “Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Jah!. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi… dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Su bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu. “Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Su pada Mak Jah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya. “Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Jah sambil mencapai kain selendangnya.”Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Su melihat Mak Jah bersiap-siap. “Nak ke kedai Pak Dollah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Jah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Su yang gemar membeza-bezakan anak.

Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar. “Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?” “Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.” “Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah. “Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu.”sambil mencium tangan Mak Jah yang menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu pergi. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari. “Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.” “Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan. “Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawab Pak Su sinis. Intan tersenyum pahit.

Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Jah pula melipat kain. “Mak, abah… Intan ada hal sikit nak cakap ni… ,” ujar Intan menghampiri mereka. Pak Su menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca. “Apa hal… kamu nak kahwin ke?” soal Pak Su merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar Pak Su turut tertawa. Mak Jah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang” Abah ni…ke situ pulak….” “Habis tu?” “Ini… Buku Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni, resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.”Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Su. “Apa??” Pak Su terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya. “Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap, abah sudi terima pemberian yang tak seberapa ini dari Intan,” tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

“Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu… dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah,” luah Pak Su sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya. “Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan.” “Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan…” ujar Pak Su. Intan peluk abahnya erat. “Hah… tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni,” Mak Jah mengusik Pak Su sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.

“Mak ni… ,” gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Su dan Mak Jah. Intan memerhati dengan perasaan gembiran bercampur hiba. “Semua dah siap ke mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Jah mengisi barang keperluan semasa di Mekah. “Dah rasanya… ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?” “Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.” “Hah, awak dengar tu… kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah, ” tambah Pak Su yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.

“Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana . Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Jah dan Pak Su berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu. ……………………………….

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Su mengerling Mak Jah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Su terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh. “Kenapa resah aje ni, bang?” Mak Jah terjaga. “Entahlah Jah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.” “Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Jah. Dari jauh lagi Pak Su sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka. 

“Mak… abah… ,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju. “Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Su tertinjau-tinjau mencari wajah Intan. “Mereka menanti di rumah, abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Su. “Intan pun tak datang juga ke?” Tanya Pak Su terasa hampa. “Awak ni… kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Jah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Su. Mak Jah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena. “Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Jah pada Muaz dan Azman. Muaz diam sambil mengerling Azman yang sedang memandu.

“Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu. “Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?” “Err… tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus,” ajak Azman menukar tajuk perbualan. “Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Su. Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata. “Mak dengan abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya. “Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Jah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. “Naik dulu Ngahnya…,” suruh Long Semah. “Intan mana?” Pak Su mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar. “Az… mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Su dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu. “Sabar abah… ,” Muaz menggosok belakang abahnya. ”Kenapa Az … kenapa?” Mak Jah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan. “Mak… Intan dah tak ada mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Su terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Jah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Su duduk di tepi kepalanya. “Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergipun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang. “Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Su menepuk lembut bahu Mak Jah. “Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Jah tersedu sedan. “Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum mak dan abah balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya.

Dia meninggal subuh hari Jumaat mak… tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz. Mak Jah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,”Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat..”

 …..Tamat….

Moral cerita : buat baik dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa sementara mereka masih ada di dunia ini. Harta benda hanyalah sementara berbanding amalan yg kita lakukan selagi tubuh badan kita bernyawa. Renung-renungkan. ….

“Esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok”

“Kasihkan manusia lepaskan dia kepada pilihan dan keputusannya kerana di situ tanda kita gembira melihat insan yang kita sayangi beroleh bahagia.”